Tetap dijangkiti Covid-19 walau lengkap terima vaksin - Utusan Malaysia

Tetap dijangkiti Covid-19 walau lengkap terima vaksin

MUSLIHATUL Nafisah (kiri) ketika bertugas di Poliklinik Damai, Senawang, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang petugas paramedik yang lengkap menerima vaksin Covid-19 masih  dijangkiti virus itu, malah sembilan lagi ahli keluarganya yang tinggal bersama dalam satu rumah di Taman Senawang Jaya di sini turut disahkan positif, awal bulan lalu.

Muslihatul Nafisah Naharudin, 23, yang merupakan paramedik di Poliklinik Damai di Senawang berkata, dia bersama emak dan ayah serta lapan adik beradik yang lain disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada adiknya, Abdullah Afandi Naharudin, 21, yang mendapat jangkitan di tempat kerja.

“Saya telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 pada bulan April lalu, tetapi pada 4 Julai lalu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengarahkan kami sekeluarga buat ujian swab. Selepas itu semua ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan kami menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 21 hari.

“Adik, Abdullah Afandi yang bekerja sebagai penghantar kurier yang pertama positif Covid-19 pada 28 Jun lalu dan mengalami demam sebelum menjangkiti kami sekeluarga yang tinggal satu rumah,” katanya ketika berkongsikan perkara itu kepada pemberita hari ini.

Muslihatul yang merupakan graduan diploma paramedikal dari Kolej Universiti Cyberjaya berkata, ketika kejadian,keluarga dijangkiti virus tersebut hanya dia, bapanya yang berusia 61 tahun dan seorang abangnya  yang sudah menerima vaksin Covid-19.

“Semua ahli keluarga, mak, ayah, adik beradik lain termasuk adik yang kecil berusia 12 dan 13 tahun mengalami demam, batuk selsema serta hilang deria bau dan rasa, kuarantin kendiri di rumah.

“Hanya ayah berisiko kerana turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut selain mendapat jangkitan kuman di paru-paru, namun tahap oksigen ayah normal,” katanya.

Menurut Muslihatul, mereka sekeluarga selesai menjalani kuarantin pada 21 Julai lalu dan tidak menyambut Hari Raya Aidiladha seperti biasa sebaliknya hanya membuat pesanan makanan.

Jelas Muslihatul, walaupun telah menerima vaksin lengkap, namun seseorang orang individu masih berisiko dijangkiti Covid-19 tetapi gejala serta risikonya mungkin lebih rendah.

“Alhamdulillah, lima lagi ahli keluarga termasuk emak, serta dua orang abang dan seorang kakak juga telah mendapat vaksin pada 26 Julai lalu.

“Kini sudah lengkap adik beradik menerima vaksin kecuali dua orang adik yang masih kecil dan bersekolah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muslihatul berkata, risiko untuk dijangkiti di tempat kerjanya agak rendah kerana dia memakai peralatan perlindungan diri (PPE) setiap masa dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

“Sebenarnya risiko itu memang ada kerana saya melakukan ujian swab kepada pesakit dan menyuntik vaksin tetapi setakat ini belum pernah dijangkiti di tempat kerja.

“Selain itu, saya nasihatkan pesakit atau individu yang mempunyai kontak rapat Covid-19 supaya jangan datang ke klinik kerana akan membawa wabak dan memudaratkan orang lain, sebaliknya dudk di rumah dan maklumkan kepada PKD,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN