HULU TERENGGANU: Seorang tukang kebun sekolah resah kehilangan punca pendapatan untuk menampung keluarganya selepas terlantar lebih seminggu akibat terjatuh dari pokok, baru-baru ini.
Mohd. Asri Yacob, 48, yang retak tulang belakang dinasihatkan supaya berehat sehingga tiga bulan selain tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.
Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu terpaksa mengagahkan dirinya berjalan di dalam rumah dengan menggunakan bantuan tongkat semata-mata untuk segera sihat dan kembali bekerja.
“Keluarga bergantung sepenuhnya kepada saya, jika cuti terlalu lama saya bimbang risiko diberhentikan kerja.
“Dalam keadaan Covid-19 pada masa ini susah untuk saya mendapatkan pekerjaan lain terutama dengan usia yang makin lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapah di sini.
Menurut Mohd. Asri, kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku ketika dia memanjat pokok gemia setinggi lima meter di belakang rumah sebelum dahan yang dipijak patah, bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. – UTUSAN ONLINE










