PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperbaharui Jabatan Peguam Negara tidak perlu kerana sehingga kini tiada tuduhan yang jelas ke atas jabatan tersebut sehingga memerlukan penyiasatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, cadangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Saidmengejutkan, namun keputusannya terletak kepada Perdana Menteri.
“Cadangan dikemukakan Azalina tiada masalah kerana itu adalah cadangan beliau tetapi sama ada cadangan itu akan diluluskan, ia terserah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya tidak nampak sebab untuk menubuhkan RCI, namun saya tidak tolak, boleh jadi Jabatan Peguam Negara juga hilang kepercayaan rakyat kerana ia sepatutnya menjadi institusi bebas tapi kebelakangan ini nampak sangat tindak-tanduk dan ucapan jabatan itu menyebelahi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menuntut supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi membawa pembaharuan dalam Jabatan Peguam Negara.Azlina menganggap kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara semakin terhakis baru-baru ini sehingga memberikan kesan kepada kerajaan.
Kata Azlina lagi, penubuhan RCI juga akan menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tadbir urus dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
Pakar Perundangan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pula berkata, sebelum penubuhan RCI, perlulah ada isu yang spesifik yang telah disiasat dan perlu ditubuhkan satu taskforce yang perlu ada rangka kerjanya tentang apa yang akan disiasat.
Menurut beliau, sekiranya Peguam Negara tidak betul, tindakan boleh diambil menggunakan undang-undang sedia ada tetapi jika Jabatan Peguam Negara itu tidak betul maka perkara itu perlu dibincangkan di Parlimen.
“Sebelum kita tubuh RCI, aduan haruslah jelas dan tepat menyebutkan kesalahan dan apa yang perlu disiasat. RCI digunakan apabila tiada kaedah-kaedah dan mekanisme lain untuk menyelesaikan isu itu.“Kalau Peguam Negara ada membuat kesalahan maka tindakan undang-undang boleh diambil termasuk memulakan mekanisme untuk siasat beliau berkaitan tuduhan beliau dan mengambil tindakan disiplin ke atas beliau,” katanya.
Hakim Tan Sri Idrus Harun dilantik kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020 mengantikan Tommy Thomas. – UTUSAN










