KUALA LUMPUR: Pelakon, Yatt Hamzah, terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara air ketubannya berkurangan awal pagi tadi.
Pelakon Dunia Baru itu memaklumkan berita mengejut tersebut menerusi akaun Instagramnya. Katanya, dia dijangka bersalin anak kelima pada 23 Julai ini, tetapi disebabkan situasi itu dia akan bersalin awal.
“Mohon selitkan doa buat saya dalam tahajud dan munajat kalian. Pagi tadi terpaksa masuk induction.
“Ya Allah permudahkanlah urusanku melahirkan kali ini. Selamatkanlah aku dan anakku serta jadikanlah anak yang bakal lahir ini menjadi hamba Mu yang sihat dan sempurna tubuh badannya, soleh juga solehah.
“Saya mohon maaf kepada semua jika pernah menyakiti sesiapa sahaja sama ada secara sengaja atau tidak. Mohon doakan bonda ini dan anakanda ya,” ujarnya.
Untuk makluman, Yatt terpaksa melahirkan bayi lebih awal itu ketika usia kandungannya memasuki minggu ke-37.
Meninjau entri berlainan yang sempat dimuat naik pelakon itu, Yatt turut memohon doa daripada rakan-rakannya di Palestin. Yatt juga melayangkan teka-teki kepada peminatnya adakah dia bakal melahirkan bayi lelaki atau perempuan.
Untuk rekod, Yatt mendirikan rumah tangga bersama juruvideo, Mohamad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Suci Humaira Iqima, 5, Suci Hafya Medina, 3, dan Suci Hawa Zulaikha.
Menerusi perkahwinan sebelum ini dengan Abdul Mutalib Shukor, Yatt mempunyai seorang anak Suci Hanania Malika.