MELAKA: Situasi politik di negeri ini masih tenang dan stabil, meskipun Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengumumkan menarik sokongan serta merta terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap kepada Utusan Online, Ketua Pemuda PN Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, walaupun terdapat pelbagai cerita di sebalik pengumuman berkenaan, ia adalah urusan dalaman UMNO dan pihak lain tidak perlu masuk campur.
“Dalam konteks Melaka, kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan kami masih menunggu reaksi kerajaan (Pusat) dan kepimpinan tertinggi parti. Bagi saya, rasa tidak puas hati berlaku di mana-mana sama ada dalam kalangan parti sahabat mahupun parti sendiri.
“Justeru, dengan mengambil kira keadaan semasa, eloklah semua pihak kepimpinan tertinggi parti yang ada dalam kerajaan PN sekarang mengurangkan perselisihan. Ini penting bagi memastikan segala perancangan untuk rakyat dan negara dapat terus berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE