LANGKAWI: Polis akan mengesan penduduk di penempatan Bukit Malut di sini yang meloloskan diri sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti itu yang bermula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Langkawi, Superintenden Samsulmudin Sulaiman berkata, kebanyakan penduduk bertindak demikian dipercayai ingin mengelakkan diri dilakukan ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin.
Menurutnya, penduduk terbabit dipercayai tinggal sementara di rumah keluarga terdekat di luar kawasan berkenaan.
Katanya, gerakan mengesan penduduk itu dijalankan bersama anggota Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita tidak mahu ada penduduk yang lolos itu membawa wabak Covid-19 keluar dari penempatan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau meminta penduduk terbabit supaya pulang semula ke rumah mereka dan melakukan saringan dalam tempoh PKPD bermula hari ini hingga 9 Ogos.
“Mereka ini dikhuatiri positif Covid-19 tetapi berkeliaran di luar kawasan Bukit Malut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Samsulmudin memberitahu, pihaknya mengadakan satu sekatan jalan raya (SJR) dan menutup tiga daripada empat jalan utama di sepanjang tempoh PKPD.
Malah tambahnya, polis juga melakukan kawalan di laluan laut memandangkan majoriti penduduk adalah kumpulan nelayan.
“Kira-kira 100 petugas ditempatkan melakukan kawalan keselamatan di PKPD di Bukit Malut dalam satu-satu masa.
“Kawalan itu melibatkan pihak PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” ujarnya.
Menurutnya, mereka yang ditahan kerana meloloskan diri akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN ONLINE