PKP 3.0:  Ah long makin `ligat' cari mangsa - Utusan Malaysia

PKP 3.0:  Ah long makin `ligat’ cari mangsa

KAMARUL Zaman Mamat (kiri) bersama Mohd. Roze Shaari meneliti sebahagian daripada iklan ah long yang diturunkan di Taman Saga, Alor Setar pada 1 Julai 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes  tawaran pinjaman  wang tidak wujud secara dalam talian dan  ah long meningkat di negeri ini  sejak pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mendapati  ah long dikesan semakin aktif membuat promosi termasuk menambah jumlah gegantung di tepi jalan yang boleh kelihatan di hampir semua lokasi strategik di negeri ini.

Menurut beliau, menerusi iklan-iklan yang digantung terutama di pokok-pokok  dan tiang lampu  itu  banyak menawarkan tawaran ‘tidak masuk akal’ bagi menjerat orang ramai yang terkesan akibat  pandemik Covid-19 ketika ini.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, terdapat 14 kertas siasatan dibuka berkaitan kes ah long manakala 20 kes lagi melibatkan penipuan belian secara dalam  talian dengan suspek  ada yang menyamar sebagai rakan, saudara dan pihak berkuasa bagi memperdaya mangsa.

“Sindiket ini mengambil kesempatan dalam waktu-waktu sukar begini dan saya menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan sindiket tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan ‘Op Vulture’ bagi membanteras kegiatan ah long di negeri ini di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari. 

Dalam `Op Vulture’ pihaknya menurunkan gegantung serta iklan di tepi-tepi jalan yang dipasang secara haram.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, operasi tersebut turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menangkap ah long serta golongan yang bersekongkol dengan mereka termasuk individu yang menawarkan akaun masing-masing untuk digunakan sindiket berkenaan.

“Kami akan meminta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan nombor telefon ah long dalam iklan bagi diambil tindakan lanjut,” kata beliau.

 Selain itu, kata beliau, pihak polis juga akan meminta SKMM bertidak menyekat talian untuk nombor-nombor telefon tersebut.

Kata Kamarul lagi, dalam tempoh Januari 2019 hingga Mei tahun ini polis membuka sebanyak 94 kertas siasatan  berkaitan kes ah long dan kes-kes itu dikhuatiri meningat tahun ini kerana ramai terkesan akibat PKP.

“Sebanyak 54 kes telah selesai manakala bakinya masih dalam siasatan. Dalam tempoh sama juga, sebanyak 81 tangkapan dibuat dan pada tahun lalu, dua individu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN