Perlu dibuktikan di Parlimen atau SD - Utusan Malaysia

Perlu dibuktikan di Parlimen atau SD

Rais Yatim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta perlu dibuktikan secara praktikal terlebih dahulu me­lalui Parlimen atau bukti pe­ngumpulan Akuan Bersumpah (SD).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan itu perlu melalui ujian perlembagaan bagi memboleh­kan Yang di-Pertuan Agong mengambil perkara itu sebagai bukti atau sebaliknya.
“Mesti ada bukti dari segi undang-undang bahawa penarikan itu membakikan berapa bilangan kerusi di Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Dari segi undang-undang, ‘cakap-cakap’ tarik sokongan tidak memberi kesan kerana tujuh menteri mereka masih di Kabinet, apatah lagi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan yang baharu.
“Dengan kata lain, pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti berteras kepada bukti perundangan. Penarikan sokongan yang bagaimana untuk diterjemahkan dalam undang-undang.
“Pada hemat saya, ia boleh diterjemah menerusi Parlimen atau menerusi bukti SD. Kedua-dua itu boleh dijadikan pilihan, tetapi yang lebih besarnya adalah apakah perpaduan Melayu Islam tidak membawa erti kepada pimpinan UMNO,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut Rais, apabila dilihat dari sudut perpaduan Melayu Islam, langkah Ahmad Zahid menampakkan beliau tidak menaruh atau memegang nilai yang tinggi terhadap perpaduan Melayu Islam dalam kerajaan dengan tidak meletakkan perpaduan terlebih dahulu berbanding yang lain.
Katanya, keputusan itu juga adalah satu kenyataan ‘bahasa politik’ yang harus dibuktikan dahulu secara praktikal dan perundangan berkenaan erti menarik keluar sedangkan selama ini Presiden itu tidak bersama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebahagian daripadanya.
“Tujuh orang menteri UMNO mendapat sokongan faedah dan mentadbir negara menerusi kementerian-kementerian utama, apakah itu tidak ada jasa bukti atau tanda kasih kepada UMNO selama ini. Ini persoalannya.
“Hampir dua tahun dikecapi oleh UMNO, apakah ini tidak ada satu nilai sama ada nilai dari segi kemasyarakatan, keagamaan atau nasional? Itu menjadi persoalan.
“Jika tidak, UMNO hanya di­lihat sebagai musim cerah dan tidak mahu bersama lagi apabila musim gelap atau semasa susah,” katanya.
Jelas beliau, penarikan itu juga tidak begitu menepati cara orang Melayu dan orang Islam berjuang untuk menegakkan perpaduan bangsa dan agama sendiri, bahkan menjadi contoh buruk kepada masyarakat lain serta generasi baharu.
“Namun, hal itu dalam politik mungkin tidak kepada banyak pihak, tetapi kepada saya, nilai keutuhan perjuangan mesti dilihat menerusi UMNO kerana parti itu adalah parti terbesar orang Melayu.
“Kalau orang Melayu yang paling besar partinya tidak menilai secara praktikal perpaduan itu, apa ertinya kita berjuang untuk bangsa berlandaskan bersetia, bersatu dan berkhidmat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN