IPOH: Kerajaan negeri akan mengagihkan 287 ekor lembu di semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan ibadan korban sempena Hari Raya AidilAdha .
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua lembu tersebut adalah sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bernilai RM1.6 juta.
Menurutnya, GLC yang terlibat menyerahkan sumbangan lembu korban itu ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPN), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Katanya, setiap DUN akan menerima sekurang-kurangnya empat ekor lembu korban.
“Agihan lembu korban ke masjid, surau dan rumah sembelihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.
“Manakala bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam pula, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah,” katanya kepada pemberita selepas majlis akad penyerahan lembu korban daripada GLC secara dalam talian di sini, hari ini.
Saarani berkata, proses serahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN akan bermula esok. – UTUSAN ONLINE