Pendaftaran vaksin rakyat Sabah terendah? - Utusan Malaysia

Pendaftaran vaksin rakyat Sabah terendah?

(Dari kiri) AHMAD HASSAN, JANNIE LASIMBANG dan DR. CHRISTINA RUNDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah menjadi satu-satunya negeri yang jauh ketinggalan dari segi pendaftaran vaksin Covid-19 dengan rekod hanya 33.62 peratus. 

Berdasarkan laman web rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, negeri itu berada di belakang Kelantan dengan 54.55 peratus. 

Utusan Malaysia sebelum ini menghubungi bekas Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi untuk mendapatkan jawapan tentang kekangan dan penyelesaian kerana rekod itu disifatkan sangat rendah ketika negeri-negeri lain semakin mencatatkan perkembangan ketara dalam pendaftaran vaksin Covid-19. Beliau difahamkan akan bertukar ke Putarajaya dalam tempoh terdekat.

Bagaimana, maklum balas yang diterima tidak memberangsangkan apabila beliau sebaliknya meminta untuk mendapatkan jawapan mengapa pendaftaran itu perlahan. 

“Kenapa tidak anda cari sendiri kenapa pendaftaran vaksin Covid-19 di Sabah rendah? Dan mungkin (anda boleh) mencadangkan bagaimana untuk memperbaiki prestasi (pendaftaran vaksin ini),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Ketika ini, hanya Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan pendaftaran vaksin penuh manakala Selangor sebanyak 89.73 peratus, Negeri Sembilan (86.06 peratus), Labuan (85.93 peratus), Sarawak (82.98 peratus), Melaka (82.31 peratus) dan Johor (81.60 peratus). 

Kesemua negeri tersebut berada dalam kategori warna hujau iaitu hampir mencapai jumlah 100 peratus populasi dewasa.

Sementara itu, Pulau Pinang merekodkan 79.96 peratus, Perlis (77.10 peratus), Pahang (69.49 peratus), Perak (67.91 peratus), Kedah (66.36 peratus) dan Terengganu 65.59 peratus.

Ketika ini, seramai 17,649,903 sudah mendaftarkan vaksin di seluruh negara dan 7,435,877 menerima dos pertama.

Di KOTA KINABALU, ekoran pendaftaran vaksin yang rendah di Sabah itu  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Sabah mengambil inisiatif membantu kerajaan mendaftarkan lebih ramai penerima vaksin melalui perkhidmatan bergerak.

Ketika ini, perbezaan fahaman politik harus diketepikan bagi memastikan usaha mencapai imuniti berkelompok di Sabah dapat dicapai.

ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, pejabatnya sudah menjalankan perkhidmatan bergerak sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Melalui perkhidmatan bergerak ini, pasukannya membantu kepada rakyat mendaftar secara terus melalui aplikasi MySejahtera. Disamping itu, pendaftaran secara manual juga turut dilakukan.

Ini antara usaha yang diambil oleh Ketua Wanita DAP Sabah ini bagi memastikan lebih ramai penerima vaksin di kawasan DUN Kapayan mendaftar sebagai penerima.

“Bagaimanapun, sejak PKP 3.0 berkuat kuasa, saya hanya menghantar nama-nama warga emas yang belum mendapat tarikh temu janji kepada Pejabat Daerah Penampang. Cara ini juga berkesan kerana nama-nama yang dihantar itu berjaya mendapatkan tarikh temu janji untuk menerima vaksin,” katanya.

Tambah Jannie, sekiranya dilihat pecahan pendaftaran, daerah yang mencatatkan pendaftaran terendah adalah di kawasan Nabawan, Kunak, Beluran, Telupid, dan Lahad Datu iaitu pada kadar 15 peratus daripada jumlah penerima.

“Kita tahu penduduk di daerah sebegitu tinggal di kawasan terpencil dan tiada capaian internet untuk mendaftar melalui MySejahtera. Untuk itu, kerajaan harus menggerakkan ketua-ketua adat dan pemimpin di peringkat kampung untuk membantu penduduk di kawasan mereka mendaftar secara manual,” katanya.

Bagi pejabat Parlimen Papar, pasukan bergerak turut diwujudkan bagi membantu penduduk yang tiada akses kepada MySejahtera berdaftar secara manual.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, pasukan itu sudah digerakkan sebelum PKP 3.0 dilaksanakan bagi membantu penduduk di daerah itu berdaftar sebagai penerima vaksin.

“Pasukan ini sudah mengambil maklumat penerima secara manual untuk didaftarkan ke dalam laman web. Jika sudah ada tarikh temu janji, penerima akan dimaklumkan melalui panggilan telefon,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri sedang memperhebatkan usaha dan strategi untuk memastikan 2.9 juta rakyat Sabah menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun ini.

Untuk itu, kerajaan negeri sudah mula menggerakkan 26 pasukan bergerak untuk melaksanakan program outreach ke kawasan pedalaman bagi mendaftarkan dan seterusnya memberikan vaksin kepada penduduk di pedalaman.

Kelmarin, program jiwa murni turut diadakan di Long Pasia, Sipitang dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Long Pasia terletak kira-kira 250 kilometer dari Kota Kinabalu adalah lokasi pertama bagi pelaksanaan proggram itu.

Disamping itu, program jangkau luar komuniti juga sudah digerakkan oleh Jabatan Penerangan Sabah bersama tiga agensi negeri dan persekutuan lain untuk memastikan penduduk di pedalaman berdaftar sebagai penerima vaksin.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

– UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya