Pemimpin APEC sepakat percepat pemulihan ekonomi - MITI - Utusan Malaysia

Pemimpin APEC sepakat percepat pemulihan ekonomi – MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mencapai kata sepakat untuk mempercepat akses kepada vaksin COVID-19 yang adil dan saksama, selamat, berkesan, terjamin kualiti dan mampu milik supaya pemulihan ekonomi dapat berjalan lancar.

Unit Komunikasi Strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat pemukiman berkenaan yang diadakan secara maya semalam, dengan delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ketua-ketua APEC turut komited melipatgandakan usaha memperluas pembuatan dan bekalan vaksin, menyokong usaha perkongsian vaksin global dan menggalakkan pemindahan teknologi pengeluaran vaksin secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemukiman dipengerusikan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan dihadiri oleh 21 ekonomi APEC termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Presiden China, Xi Jinping; Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.

MITI berkata, bagi menunjukkan solidariti dalam memerangi krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19, pemimpin mengeluarkan ”Pernyataan Ketua-ketua Ekonomi APEC: Menangani Covid-19 dan Mempercepat Pemulihan Ekonomi’.

“Sambil mengulangi komitmen mereka dalam merealisasikan Visi Putrajaya ke arah komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman makmur menjelang 2040, pernyataan itu memfokuskan pada tiga bidang utama iaitu pertumbuhan kukuh, seimbang, selamat, lestari/mampan dan inklusif; inovasi dan digitalisasi; serta perdagangan dan pelaburan m yang juga merupakan pendorong utama visi berkenaan,” jelasnya.

Menerusi ucapannya, Muhyiddin menyifatkan Pemukiman Tidak Rasmi itu sebagai acara penting untuk merenung kembali setiap peluang kerjasama yang terlepas yang boleh memperkuatkan usaha ke arah pemulihan ekonomi yang pesat, mampan dan saksama.

Muhyiddin turut dilaporkan berkata, walaupun terdapat beberapa negara telah kembali kepada tahap yang normal, banyak negara yang masih bergelut untuk mendapatkan semula kestabilan ekonomi.

Menurut MITI lagi, Muhyiddin juga menekankan hubung kait positif antara kejayaan program vaksinasi atau peningkatan kadar inokulasi serta kemampuan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

“Malaysia menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin global, termasuk menerusi rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang membabitkan pengecualian sementara peruntukan tertentu dalam Perjanjian Aspek Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS).

“Ini adalah langkah dan hala tuju yang tepat memandangkan keadaan luar biasa juga memerlukan tindakan seumpamanya,” katanya.

Dalam pada itu, MITI berkata Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kerana menganjurkan temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan bermula minggu depan.

Muhyiddin menyifatkan acara sukan berprestij dunia itu merupakan bukti perjalanan rentas sempadan boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah ketat dan persekitaran terkawal.

Sejak penyataan mengenai Covid-19 dikeluarkan oleh Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan APEC ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2020, APEC telah memperkenalkan pelbagai dasar yang dirumuskan untuk mengatasi cabaran yang timbul daripada krisis kesihatan dan ekonomi, yang dijangka dapat bertahan lama.

Pemimpin akan bertemu sekali lagi untuk memuktamadkan usaha dan pencapaian APEC 2021 pada November ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN