PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat mampu menstabilkan kemelut politik dalam UMNO yang sebelum ini turut menjejaskan keutuhan kedudukan kerajaan.
Pada masa sama, ia mampu menangkis tuduhan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetepikan kedudukan UMNO selaku komponen terbesar kerajaan, sekali gus meredakan kemarahan sesetengah ahli dan pemimpin parti itu.
Bercakap kepada Utusan Online, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, lantikan Ismail Sabri itu tidak seharusnya dipersoal mana-mana pihak kerana ia adalah berada di dalam prerogatif Perdana Menteri, apatah lagi diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kedudukan Ismail Sabri sebagai pemimpin UMNO paling kanan dari segi senioriti dalam Kabinet, iaitu selaku Naib Presiden UMNO dan Menteri Kanan, mewajarkan beliau dilantik ke jawatan itu.
“Dari segi merit juga, Ismail Sabri tidak mempunyai masalah kerana beliau berkelulusan undang-undang selain merupakan antara pemimpin paling cemerlang dan menonjol dalam usaha memerangi Covid-19 apabila hampir setiap hari membuat pengumuman mengenai keadaan terkini negara,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan demi membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut melantik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, Ismail Sabri juga tidak ada isu peribadi dan tidak terpalit dengan sebarang kontroversi, malah dilihat amat tegas dalam penguatkuasaan undang-undang hingga menimbulkan simpati rakyat apabila ketegasan beliau dipermainkan oleh pihak lain.
“Beliau juga dilihat mampu meredakan ketegangan dalam UMNO kerana beliau tidak dilihat berkonfrontasi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dua sosok penting dalam UMNO sekarang, sekali gus boleh mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah dalam parti,” katanya. -UTUSAN ONLINE