KUALA LUMPUR: Beberapa lokaliti di Pahang, Melaka, Sabah serta sebuah kilang dan dua asrama pekerja di Perak, akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 16 Julai depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kilang yang dikenakan PKPD di Perak ialah Kilang Latexx Manufacturing Sdn. Bhd. dan asrama pekerja Latexx Village, Taiping.
Katanya, ini ekoran berlaku peningkatan kes apabila 237 kes positif direkodkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 795 saringan.
“PKPD turut dilaksanakan di asrama pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Taman Industri Kamunting Aman, Kamunting, Perak.
“Sebanyak 213 kes positif direkodkan selepas KKM melakukan 561 saringan dalam kalangan pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, PKPD juga akan dilaksanakan di Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang selepas 369 kes positif COVID-19 dikesan daripada 5,219 saringan yang dijalankan.
Menurut Ismail Sabri, PKPD kali ini turut membabitkan Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka selepas 55 kes positif COVID-19 direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya.
PKPD di Sabah pula katanya, membabitkan dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung.
PKPD di Sabah turut membabitkan Taman Jaya Diri di Kota Kinabalu, Kampung Lingkodon di Kota Belud, Kampung Pintas Kubu di Beaufort, Kampung Muhibbah di Putatan dan Kampung Goshen di Kota Marudu.