MERSING: Tugas polis kini tidak lagi terhad menguatkuasakan undang-undang, malah ketika pandemik Covid-19 mereka gigih membantu masyarakat yang memerlukan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut mengambil langkah membuka saluran bantuan menerusi aplikasi WhatsApp kepada masyarakat Mersing yang memerlukan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat prihatin dengan keadaan pandemik yang melanda negara, jadi mereka yang memerlukan bantuan boleh menghantar maklumat melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-689 7934 milik IPD Mersing.
“Selain itu, pada hari ini Polis Daerah Mersing bersama Rela Mersing, Amanita Mersing dan Ketua Kampung Seri Pantai telah menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 10 penerima yang memerlukan.
“Kesemua penerima sumbangan bakul makanan terdiri daripada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar Kampung Seri Pantai,” katanya selepas turut serta dalam Op Bantu Daerah Mersing, hari ini.
Cyril berkata, sumbangan berkenaan akan diteruskan lagi kepada 10 orang penerima terdiri daripada masyarakat daerah itu yang akan diserahkan pada esok.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa masyarakat Mersing agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha membendung pandemik Covid-19. – UTUSAN










