Filem kenegaraan diberi takrif baharu meliputi peristiwa, sastera - Utusan Malaysia

Filem kenegaraan diberi takrif baharu meliputi peristiwa, sastera

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional mentakrif semula filem cereka berunsur kenegaraan dengan dua skop baharu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, definisi genre filem itu dimurnikan semula dengan memasukkan skop tema baharu iaitu sama ada bersifat peristiwa atau pun sastera.

“Langkah pemurnian kembali takrif itu diharap tidak akan cetus lagi perdebatan konon ada pengeluar filem tertentu dapat dana Finas, tapi karyanya bukan kategori kenegaraan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi ramah mesra secara maya dengan para penerima Dana Kandungan Digital Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

Sebelum ini, pentakrifan filem kenegaraan dibuat berdasarkan kepada lima tema besar iaitu sukan/belia, budaya/warisan, peristiwa sejarah/patriotisme, futuristik/teknologi dan novel.

Format cereka itu juga bagi tujuan penyertaan festival filem di luar negara serta tayangan bersempena sambutan acara peringkat nasional dan arkib rujukan awam pada masa depan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berharap, pemurniaan definisi baharu filem kenegaraan akan menarik minat pengkarya yang selama ini lebih gemar tema ringan atau bersifat komersial.

“Ada banyak filem sebegini walaupun agak serius dan berat, tetapi mampu raih kutipan tiket pecah panggung seperti Paskal yang dapat catat jualan RM30 juta pada 2017 lalu,” katanya.

Kejayaan itu membuktikan filem berunsur cinta kepada negara tetap mampu menarik minat penonton asalkan digarap dengan penuh kreativiti namun masih ada lagi elemen patriotik.

Apatah lagi, ujarnya, takrifan baharu itui itu membolehkan pengkarya bebas mengadaptasi naskhah sastera atau mengambil inspirasi insiden penting ikonik signifikan kepada tanah air.

Beliau memberi contoh Turki dan Korea Selatan yang sudah mampu mengeksport cereka kenegaraan berasaskan kisah silam era kegemilangan negara mereka itu ke seluruh dunia.

Pada masa sama jelasnya, filem itu mampu jadi alat bantuan mengajar murid sekolah dan institusi pengajian tinggi terutama dalam mata pelajaran seperti sejarah dan kesusasteraan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN