GEORGETOWN: Seorang lelaki tidak menyangka pekerjaannya sebagai pengurus sebuah restoran terkenal di sini, sejak 15 tahun lalu berakhir akibat pandemik Covid-19 sehingga memaksanya bertukar kerjaya sebagai penghantar makanan.
Anak jati Pulau Mutiara yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 47, itu berkata, dia terpaksa memilih kerjaya baharu dengan sebuah syarikat penghantar makanan popular disebabkan keadaan kewangan yang mendesak ekoran diberi cuti tanpa gaji sejak bulan lalu.
Lebih memeritkan, dia juga terpaksa menyewa basikal menerusi aplikasi sistem perkongsian basikal atau Link Bike yang disediakan kerajaan negeri dengan kadar RM25 seminggu.
“Saya tidak ada lesen motosikal, jadi rutin harian sebelum mengambil pesanan makanan adalah memandu kereta dan meletakkan di kawasan berhampiran dengan lokasi sewa basikal.
“Saya bekerja selama 10 jam sehari di dua lokasi iaitu di sekitar Georgetown dan Bayan Baru manakala lokasi penghantaran makanan pula dalam radius tiga kilometer.
“Saya sedikitpun tidak berasa malu dengan pengalaman baharu ini (menghantar makanan guna basikal) meskipun sudah 30 tahun bekerja dalam bidang pengurusan restoran termasuk memegang jawatan pengurus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Cerita Shah, kerja sebagai penghantar makanan menggunakan perkhidmatan basikal disifatkan pilihan sesuai buatnya ketika ini bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Malah katanya, dia tidak berada kekok meskipun sebelum ini bekerja dalam suasana berhawa dingin dengan pakaian serba kemas dan kini terpaksa berpanas serta berhujan demi kepuasan pelanggan.
“Saya diberi cuti tanpa gaji sejak bulan lalu susulan arahan tidak boleh makan di restoran dan memang tiada pendapatan lain kecuali menerima gaji bulanan ketika itu.
“Sebelum ini, saya pernah bekerja dengan memegang jawatan sama di sebuah lagi restoran berhampiran selama lima tahun tetapi telah ditamatkan kontrak ekoran pandemik Covid-19 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE