GEORGETOWN: Kesemua 263 jemaah haji Malaysia memohon agar seluruh rakyat mendoakan mereka diberikan kemudahan dan kelancaran oleh Allah SWT sepanjang menunaikan ibadat tersebut.
Salah seorang jemaah terlibat, Ahmad Najhan Hassim, 30, berkata, jemaah haji juga akan mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara ini khususnya ketika masih menghadapi Covid-19.
“Semoga pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi dan dirahmati Allah SWT sepanjang masa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, kesemua jemaah haji negara sudah meninggalkan Mina pukul 5.20 pagi semalam untuk bergerak menuju ke Arafah.
Katanya, kesemua mereka bergerak serentak menaiki bas menuju Arafah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Mina untuk melaksanakan wukuf iaitu rukun haji yang paling penting yang juga kemuncak kepada ibadat haji.
Beliau berkata, jika berkesempatan jemaah terlibat akan mendengar khutbah haji dan menunaikan solat Zuhur serta Asar di Masjid Namirah sebelum meneruskan perjalanan ke khemah di Arafah.
Ujarnya, jemaah haji juga akan mula berdoa di luar khemah di Arafah selepas solat asar sehingga Maghrib sebelum bergerak ke Muzdalifah untuk mabit iaitu antara perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan.
“Untuk persediaan melontar Jamrah Kubra pula, pihak agensi sudah menyediakan tujuh anak batu kepada setiap jemaah.
“Jika diikutkan jemaah disunatkan mengutip anak batu itu sendiri tetapi bagi mengelakkan berlakunya kontak di tempat terbuka yang mungkin boleh merisikokan jangkitan Covid-19, jadi anak batu ini turut disediakan oleh agensi,” katanya.
Ahmad Najhan dari Gombak, Selangor yang sudah tiga tahun bekerja sebagai jururawat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah antara 263 rakyat Malaysia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, beliau dan warga Malaysia yang lain menjalani rukun dalam melengkapkan ibadat haji berkenaan dengan penuh rasa terharu dan syukur kepada Allah SWT. – UTUSAN










