PUTRAJAYA: Malaysia bakal menerima 500,000 dos lagi vaksin Sinovac sumbangan dari China yang dijangka tiba di tanah air pertengahan bulan ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, ia sekali gus akan terus meningkatkan kapasiti dan kadar vaksinasi PICK pada bulan ini dan seterusnya.
Beliau berkata, pada bulan ini, negara akan menerima 5,428,800 dos vaksin Pfizer menerusi perolehan terus kerajaan.
“Secara keseluruhan, stok vaksin Pfizer yang bakal diterima bulan ini adalah 6,429,150 dos termasuk 1,000,350 dos yang disumbangkan Amerika Syarikat.
“Bagi Sinovac pula, kita akan menerima keseluruhan lebihan bekalan pada bulan ini sekali gus melengkapkan jumlah tempahan sebanyak 12 juta dos,” kata beliau pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.
Menurut beliau, pada bulan Ogos dan seterusnya, vaksin yang akan digunakan di bawah PICK adalah Pfizer dan AstraZeneca, tidak termasuk CanSino yang belum diterima tarikh penghantaran.
Dalam pada itu, Khairy berkata, sebanyak 21 lagi pusat pemberian vaksin (PPV) mula beroperasi pada hari ini meliputi PPV awam dan PPV integrasi dengan kapasiti sehingga 5,000 suntikan sehari.
“PPV baharu ini membabitkan sebuah PPV awam di Pahang, Pulau Pinang (dua PPV), Sabah (10 PPV) dan Sarawak (satu PPV).
“Selain itu, tujuh PPV Integrasi dibuka di Selangor hari ini dengan jumlah kapasiti tambahan yang diperoleh daripada penambahan PPV ini adalah sebanyak 24,350 dos sehari,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, Perlis adalah negeri terbaharu yang memulakan fasa tiga PICK dimana ia sudah dilaksanakan sejak minggu lalu.
“Selain Perlis, negeri-negeri lain yang sudah memasuki fasa tiga PICK adalah Putrajaya, Labuan, Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor.
“Negeri-negeri ini telah merekodkan sekurang-kurangnya 80 peratus vaksinasi ke atas golongan warga emas yang berdaftar,” katanya.
Katanya, kadar vaksinasi negara terus konsisten selari dengan sasaran harian ditetapkan bulan ini iaitu sebanyak 300,000 dos sehari. – UTUSAN