Cekal jaga tiga beradik OKU ketika Covid-19  - Utusan Malaysia

Cekal jaga tiga beradik OKU ketika Covid-19 

NOORZAINY Mohd. Noor ketika menziarahi keluarga Azizah Mohamed, 58, yang turut menjaga tiga saudara kandungnya yang juga OKU untuk menghulurkan sumbangan di Kampung Teluk, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Menguruskan dua kakak dan seorang adik golongan orang kurang upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang mudah, namun tanggungjawab itu digalas penuh sabar dan kasih sayang oleh seorang wanita warga emas di sini. 

Azizah Mohamed, 58, berkata, dia kini menjaga dua kakaknya iaitu Zaiton, 67, dan Habesah, 62, serta adiknya, Noorlia, 54, yang lumpuh akibat serangan demam panas ketika masing-masing berusia dua tahun. 

“Mujurlah, kedua-dua kakak dan adik saya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain pencen arwah ayah yang turut membantu memudahkan saya menguruskan ketiga-tiga saudara kandung saya ini. 

“Terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan kerana bantuan ini sudah semestinya meringankan beban saya sekeluarga,” katanya yang turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. 

Azizah antara 10 individu yang menerima sumbangan barangan keperluan menerusi Op Bantu yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). 

Dia menerima sumbangan itu daripada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor yang menziarahi rumah mereka di Kampung Teluk, di sini hari ini. 

Sementara itu, seorang lagi penerima, Che Fatimah Embi, 85, berkata, dia amat berterima kasih dengan bantuan yang dihulurkan memandangkan mereka sekeluarga turut terjejas akibat pandemik Covid-19. 

Katanya, mereka sekeluarga sebelum ini bergantung punca pendapatan daripada perniagaan kedai makanan yang diusahakan cucunya, Norfadlen Berhaudin, 38. 

“Perniagaan kedai makan cucu saya tidak dapat beroperasi seperti biasa disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dia terpaksa menyewakan kedai makan itu dan kini bekerja sebagai operator pengeluaran di Perai bagi menampung pendapatan kami sekeluarga,” katanya. 

Sementara itu, Noorzainy berkata, mereka yang tinggal di SPU yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh menghubungi polis melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-12424846 untuk mendapatkan bantuan. 

Katanya, mereka yang terjejas hanya perlu menyertakan nama dan alamat dan pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk tampil menghulurkan bantuan. 

“Hari ini sumbangan telah diagihkan kepada 10 keluarga terkesan manakala esok kita akan kunjungi 10 lagi keluarga yang terjejas. 

“Setakat ini, seramai 300 individu sekitar SPU yang memerlukan bantuan sudah dikenal pasti dan bantuan akan menyusul,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN