14,000 penjenayah warga asing ditahan - Utusan Malaysia

14,000 penjenayah warga asing ditahan

ABD. JALIL HASSAN mengesahkan seorang pendakwah terkenal akan didakwa hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan warga asing antara kelompok yang terjejas sekali gus boleh membawa kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Perkara itu boleh berlaku jika warga asing yang ada di negara ini hilang pekerjaan atau tidak bekerja sehingga mendorong mereka melakukan aktiviti jenayah bagi mendapat sumber kewangan bagi meneruskan hidup mereka.

Sejak 2019 hingga Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seramai 14,000 penjenayah warga asing kerana terlibat pelbagai kes jenayah seperti mencuri, pecah rumah, bunuh serta rogol.

Daripada jumlah itu, seramai 3,959 orang daripadanya melibatkan jenayah kekerasan manakala 10,041 ditahan bagi kesalahan harta benda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, bagaimanapun terdapat penurunan ketara bagi semua kesalahan tersebut pada tempoh pelaksanaan PKP berbanding tahun sebelumnya.

“Hal ini disebabkan rondaan dan kawalan secara berkala dengan kehadiran pihak polis di mana-mana terutama ketika tempoh PKP ini. Ini secara tidak langsung menyebabkan penjenayah tidak berani buat kerja jahat mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abd. Jalil berkata, bagi jenayah kekerasan, kesalahan tertinggi dilakukan warga asing adalah mencederakan iaitu sebanyak 1,470 orang diikuti dengan kes samun berkawan tanpa senjata api iaitu seramai 955 individu diberkas dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, selain itu, pada tempoh sama, sebanyak 690 penjenayah warga asing terlibat dalam kes bunuh, 337 orang (kes rogol), 336 orang (samun tanpa senjata api) dan 102 orang bagi kesalahan samun berkawan dengan senjata api.

“Bagi jenayah samun bersendirian dengan senjata api pula, sebanyak 29 orang dikenal pasti terlibat pada tahun 2019 namun tiada kes direkodkan sepanjang tahun lalu sehingga Mei lalu.

“Selain itu, bagi jenayah harta benda, kesalahan tertinggi dicatatkan melibatkan warga asing adalah mencuri iaitu seramai 4,834 orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Abd. Jalil, pihaknya turut memberkas kira-kira 3,270 warga asing bagi kesalahan pecah rumah diikuti dengan 1,065 (curi motosikal), 269 orang (curi kereta) dan 118 lagi bagi kes mencuri kenderaan berat seperti van dan lori.

Jelas beliau, bagi jenayah ragut, seramai 35 warga asing ditahan pada tahun 2019 dan tiada tangkapan terbaharu untuk tahun lalu hingga Mei ini.

 

“Memandangkan kita kini berada dalam pelaksanaan PKP, jadi pergerakan masyarakat adalah terhad dan kebanyakan mereka berada di rumah sekali gus tiada lagi ruang untuk penjenayah ini melakukan jenayah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×