TAMPIN: Demi kasih sayang terhadap anaknya, sepasang suami isteri warga emas tetap tabah menjaga anak kedua mereka yang menghidap penyakit kencing manis kronik dan tidak lagi boleh bekerja.
Walaupun dibatasi kudrat usia tua, pesara tentera, Mohd. Akherruddin Chik, 69, dan isterinya, Mariam Yusuf, 65, cekal memastikan anak mereka, Mohd. Fazly, 41, mendapat rawatan terbaik.
Mohd. Akherruddin masih lagi memandu kereta berulang-alik ke hospital bagi menghantar anaknya itu menjalani pemeriksaan kesihatan sama ada di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah atau di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
“Saya kena kuat, kalau tidak macam mana nak uruskan anak saya ini, dalam sebulan, sekurang-kurangnya empat kali kena berulang-alik ke hospital. Walaupun memang tidak larat nak angkat anak dan duduk di kerusi roda, saya harus lakukannya bagi memastikan dia menghadiri setiap janji temu hospital.
“Sejak lebih empat tahun lalu, anak dimasukkan ke hospital disebabkan sakit kencing manis kronik dan penyakit berkenaan juga menyebabkan saraf kakinya rosak. Mohd. Fazly juga tidak boleh berjalan lagi disebabkan kakinya patah dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) sejak tahun lalu disebabkan penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Kasturi Gemencheh di sini baru-baru ini.
Menurut Mariam pula, dia amat berharap agar bantuan pencen ilat yang dimohon anaknya dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semasa bekerja kilang di Selangor dahulu dapat dipertimbangkan kembali memandangkan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada wang pencen yang diterima Mohd. Akherruddin.
Tambahnya, dia juga menjaga dua anak Mohd. Fazly dan masing-masing mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
“Saya bersyukur cucu saya mendapat bantuan dan kepimpinan setempat prihatin nasib kami, namun besarlah harapan saya sekiranya anak saya mendapat pencen ilat berkenaan kerana sememangnya dia sakit serta tidak mampu bekerja lagi.
“Sepanjang empat tahun sakit, sudah enam kali dia mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital dan doktor menyatakan sudah tiada harapan, namun, Alhamdulilah, semangat anak kuat demi dua anak-anaknya yang memilih tinggal bersamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE