Tanggung rugi pisang gagal dijual - Utusan Malaysia

Tanggung rugi pisang gagal dijual

SEBAHAGIAN buah pisang yang tidak dapat dijual di Kampung Belimbing Kiri, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Dua sahabat dari Kampung Belimbing Kiri, Kuala Nerang di sini terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila tidak dapat memasarkan buah pisang yang ditanam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Keadaan tersebut didakwa berlaku apabila pemborong dari Pulau Pinang dan Perlis serta beberapa daerah di negeri ini tidak datang membeli pisang tersebut dalam tempoh PKP ini.

Mohd. Azlan Abdul Manaf,  37, dan Azmir Abd. Rahman, 37, dari Kampung Belimbing Kiri, Kuala Nerang di sini mengusahakan tanaman pisang berangan seluas kira-kira dua hektar.

Menurut Mohd. Azlan, kebun milik mereka itu dapat mengeluarkan pisang sebanyak 400 hingga 500 kilogram sehari.

Katanya, pada minggu pertama PKP 3.0, mereka terpaksa melupuskan kira-kira 1,050 kilogram buah pisang berangan yang masak selepas tiada pemborong datang membelinya.

“Kami selepas itu terpaksa memasarkan sendiri buah pisang tersebut untuk mengelakkan kerugian lebih besar.

“Pada masa ini, kami meletak buah pisang tersebut di kedai-kedai runcit di sekitar Padang Terap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini mereka menjual buah pisang dengan harga RM2.50 sekilogram berbanding semasa PKP sekarang dijual pada harga RM1.80 sekilogram.

Azmir pula memberitahu, mereka mengusahakan tanaman pisang itu dengan berkongsi modal sebanyak RM35,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN