Siri PKP: Peniaga jadi buruan ah long, bank - Utusan Malaysia

Siri PKP: Peniaga jadi buruan ah long, bank

Siri PKP menyebabkan perniagaan terjejas sehingga ada antara peniaga menjadi buruan ah long atau bank.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah mendedahkan ramai dalam kalangan peniaga kecil di negeri ini menjadi buruan ah long dan bank akibat gagal membayar hutang kesan pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebanyakan peniaga terbabit mendakwa mereka hilang pendapatan selepas perniagaan terjejas teruk, malah terdapat juga tidak dapat berniaga berikutan PKP sehingga tidak mampu menjelaskan hutang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam, yang dipertua gabungan peniaga itu, Baharudin Mohd. Ali berkata, ramai dalam kalangan peniaga yang bernaung di bawahnya kini ‘hilang daripada radar’ dipercayai mengelak dikesan oleh ah long dan bank.

“Memang ada yang dikejar ah long dan bank, malah ada yang sudah muflis. Ini semua gara-gara tidak mampu membayar balik pinjaman. Kedai mereka pun sudah lama tutup.
“Apa yang persatuan bimbang semakin ramai peniaga kecil berisiko diburu ah long dan bank sekiranya PKP berterusan,” katanya.

Menurut beliau, daripada 50,000 peniaga yang bernaung di bawah persatuan tersebut sebanyak 30,000 tidak dapat berniaga kerana mereka menjual barang bukan keperluan seperti pakaian dan aksesori.

“Golongan peniaga seperti ini yang berniaga di pasar sehari dan pasar malam terkesan kerana tidak dapat berniaga dan pada masa sama, mereka mempunyai pelbagai pinjaman yang harus diselesaikan tetapi tiada sumber pendapatan,” katanya.

Selain itu, tambahnya, peniaga kecil kini terpaksa menanggung tunggakan sewa bulanan premis perniagaan masing-masing yang tinggi.

“Bayaran sewa kedai kena bayar juga walaupun banyak yang tidak dapat berniaga. Untuk yang berniaga makanan mereka juga mengeluh kerana pendapatan menurun lebih separuh selepas pelanggan hanya dibenar bungkus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN