PETALING JAYA: Pendakwah popular, Ebit Liew kagum dengan semangat kanak-kanak Palestin di Gaza yang tabah berdepan cabaran walaupun ada antara mereka yang kehilangan kaki dalam serangan rejim Israel baru-baru ini.
Dalam entri akaun facebook milknya, Ebit tampil berkongsi suasana pilu ketika berkunjung ke pekarangan bangunan yang dahulunya megah berdiri kini hancur menjadi batu jalanan.
“Anak-anak disini susah. Dibom pula. Adik ni semua sentiasa tersenyum tapi bila ditanya tentang kaki atau bom, ada yang tersenyum dan ada yang menangis.
“Sayu menceritakan apa yang telah berlaku, Allahuakbar ramai tiada kaki. Ada tiga beradik tiada kaki.
“Walaupun terpaksa menggunakan bantuan kaki palsu, masa berbual dan bermain bola keranjang mereka semua kelihatan ceria dan macam dah lama kenal.
“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, berat rasa hati melihat mereka semua hidup menerima ujian besar begini,” katanya.
Ebit kini berada di Gaza meneruskan misi bantuan kemanusiaan. – UTUSAN










