Projek udang ancam hutan paya bakau - Utusan Malaysia

Projek udang ancam hutan paya bakau

PROJEK ternakan udang di Parit Buntar yang didakwa menyebabkan kerosakan hutan paya bakau dan menjejaskan pendapatan nelayan. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Penduduk Kuala Bagan Tiang di sini membantah dua projek akuakultur ternakan kolam udang di sini kerana merosakkan hutan kayu bakau di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata,  dua projek itu yang masing-masing berkeluasan 47 dan 200 ekar yang diluluskan oleh Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Syarikat Makmur Cemerlang Sdn. Bhd.  itu turut menjejaskan pendapatan nelayan.

Menurutnya, kawasan yang diluluskan itu pernah diminta oleh penduduk untuk projek perumahan bagi generasi nelayan untuk mereka kekal meneruskan kehidupan nelayan.

MUJAHID YUSOF

“Penduduk juga mencari sumber rezeki di hutan kayu bakau sekitar dan apabila projek kolam udang ini diluluskan, ia akan menjejaskan pendapatan mereka yang sudahpun tertekan dengan kesan Covid-19. 

“Kepentingan penduduk tempatan harus didahulukan untuk mengekalkan kehidupan tradisi generasi nelayan di sini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini. 

Menurut Mujahid, projek itu juga menjejaskan keselamatan kampung berdekatan yang akan terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami apabila hutan kayu bakau musnah kesan daripada pembangunan projek akuakultur. 

Beliau berkata, projek sedia ada di sekitar Sungai Kota di sini juga dibantah oleh penduduk kampung sebelum ini tetapi tidak mendapat perhatian kerajaan negeri. 

Katanya, tanpa hutan kayu bakau, orang kampung juga terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan. 

“Pengusaha projek juga telah menceroboh had yang ditetapkan tanpa penguatkuasaan yang berkesan. 

“Saya menggesa menteri besar campur tangan, bersesuaian dengan Dasar Perak Lestari dan mendahulukan suara rakyat khususnya para nelayan supaya kehidupan generasi mereka dapat dilangsungkan,” katanya. 

Sebelum ini, kerajaan menafikan dakwaan berlaku pencerobohan tanah untuk projek kolam ternakan udang itu 

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, sebelum ini tanah di situ memang telah diterokai secara haram oleh pihak tertentu namun kerajaan negeri telah mengambil alih kawasan itu kepada menyerahkannya kepada PPPNP untuk dimajukan.

Razman membuat kenyataan itu berikutan gesaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) agar projek berkenaan dihentikan kerana menjejaskan pendapatan nelayan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya