Projek jambatan Sungai Chengkeh jejas mata pencarian nelayan - Utusan Malaysia

Projek jambatan Sungai Chengkeh jejas mata pencarian nelayan

KERJA-kerja pembinaan jambatan di Sungai Chengkeh yang didakwa oleh nelayan tempatan telah menjejaskan mata pencarian mereka di Serkat, Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerja-kerja pembinaan sebuah jambatan berdekatan Sungai Chengkeh, Serkat di sini meresahkan kira-kira 60 nelayan dari tiga pengkalan nelayan yang khuatir boleh menjejaskan hasil tangkapan harian mereka.

Mendakwa tidak dimaklumkan mengenai pembinaan jambatan tersebut yang akan menyebabkan laluan keluar ke laut menjadi semakin cetek, mereka turut bimbang apabila air menjadi kotor dan tercemar.

Ketiga-tiga pengkalan nelayan tersebut adalah Pangkalan Nelayan Tanjung, Pangkalan Pak Andak dan Pangkalan Nelayan Surau yang menggunakan Sungai Chengkeh sebagai laluan utama untuk keluar pada setiap hari.

Seorang nelayan, Mohd. Said Samin, 70, yang melakukan kegiatan menjala udang berkata, dia kini sudah resah kerana hasil tangkapan semakin kurang disebabkan masalah air yang kotor dan berkelodak di kawasan tersebut.

Katanya, pekerjaan sebagai nelayan sudah sebati dalam dirinya bagi mencari sedikit pendapatan harian walaupun semua anak-anak telah bekerja tetapi perbelanjaan seharian perlu juga diusahakan sendiri selagi terdaya.

Menurutnya, jika sebelum ini dia mampu memperoleh pendapatan harian antara RM100 ke RM200, namun kini merudum kepada RM30 hingga RM40 sahaja dalam sehari disebabkan berlakunya pencemaran air ekoran kerja-kerja penambakan dan sebagainya.

“Kasihanilah kami kerana ada dalam kalangan nelayan mempunyai tanggungan yang ramai termasuk yang masih bersekolah dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan harian yang besar,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Tambah Mohd. Said, dahulu mereka mampu menangkap antara enam ke tujuh kilogram udang sehari yang kini menjadi sejarah disebabkan pelbagai projek ekonomi yang dibangunkan di kawasan berdekatan.

Seorang lagi nelayan, Pany Tukijan, 68, turut meluahkan nasib yang sama kerana pendapatan yang diperoleh kini tidak berbaloi dengan usaha keluar seharian ke laut.

Dia yang 30 tahun menjadi nelayan sejak remaja berkata, kawasan Sungai Chengkeh sebelum ini kaya dengan ikan sembilang dan ikan siakap tetapi selepas pelbagai projek dijalankan, hasil laut itu tidak lagi kelihatan.

Katanya, walaupun anak-anak membantu tetapi untuk perbelanjaan seperti bayaran bil elektrik dan air perlu dijelaskan mengikut tempoh waktu dan pendapatan sebagai nelayan digunakan untuk membayarnya.

“Kami tidak menghalang pembangunan tersebut, tetapi pandang-pandang dan jenguklah kami yang masih menjadikan nelayan sebagai sumber pendapatan utama, biar pun sedikit tetapi ada tempat untuk kami mencari sesuap nasi.

“Sekurang-kurangnya maklum kepada kami penduduk kampung untuk apa projek jambatan itu, bila dibina dan bila siapnya, jangan jadikan kami ini seperti tiada pada pandangan mereka,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya