PETALING JAYA: Para peguam juga tidak terlepas daripada menerima tempias kesan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown Covid-19 apabila terus dihimpit masalah kewangan di samping tidak menerima sebarang bantuan kerajaan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, firma guaman kini terpaksa ditutup sementara kerana diletakkan di bawah bukan perkhidmatan tidak perlu sepanjang total lockdown hingga para pekerja diarahkan bekerja dari rumah.
Katanya, terdapat perkhidmatan guaman tidak dapat dibuat di kediaman sekali gus menyebabkan pendapatan terkesan dan akhirnya sudah tidak mampu menampung kos operasi termasuk gaji pekerja.
“Jadi bagaimana majikan mahu membayar gaji pekerja, sewa premis, perbelanjaan dan banyak lagi. Akibatnya pekerja dapat gaji dan majikan pula tidak mendapat bayaran perniagaan. Dalam hal ini bukan sahaja pekerja yang terkesan tetapi majikan.
“Oleh itu mekanisme pengagihan bantuan perlu dilihat semula oleh kerajaan. Saya juga mendapat banyak aduan dalam kalangan ahli PPMM yang merungut tidak mendapat bantuan sewajarnya, ini adalah disebabkan kebanyakan peguam dikategorikan dalam kategori T20 dan M40. Sebaliknya, mereka kini sangat terkesan dan tidak dapat langsung sebarang bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainul Rijal menambah, kerajaan perlu mendapatkan data pendapatan isi rumah terkini berkenaan soal pengagihan bantuan memandangkan terdapat golongan lain juga sama terkesan dan sangat memerlukan bantuan.
Katanya, tumpuan bantuan kerajaan kini terarah kepada golongan B40 dan akhirnya kumpulan lain sering dilupakan kerana disangka masih mempunyai pendapatan yang biasa.
“Rata-rata kita sudah mengetahui pendapatan isi rumah di Malaysia dibahagikan kepada tiga golongan utama iaitu T20, M40 dan B40. Golongan T20 lazimnya penyumbang tersebar kepada pembangunan negara dan kurang mendapat bantuan kerajaan manakala golongan M40 pula sebahagiannya diberikan bantuan, ada yang lainnya tidak dapat.
“Namun akibat pandemik, pendapatan isi rumah pada tahun ini sudah berubah. Ramai di dalam kalangan T20 sudah jatuh menjadi M40 ataupun yang lebih dahsyat lagi B40. Contohnya seperti juruterbang atau anak kapal pesawat yang dulunya bergaji puluhan ribu tetapi kini tidak mempunyai pekerjaan.
“Golongan M40 pula sebagai golongan pertengahan juga banyak terkesan dengan pandemik ini antaranya mereka dibuang kerja, perniagaan yang merosot dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE