PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bukti kerajaan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memulihkan semula ekonomi negara selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, ia boleh dilihat menerusi program pembiayaan mikrokredit yang diteruskan di bawah pakej itu dengan tambahan dana berjumlah RM500 juta di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan skim ini adalah sebanyak RM850 juta termasuk peruntukan sebanyak RM350 juta sebelum ini di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disediakan sebagai bantuan kewangan kepada usahawan mikro terutama pengusaha agromakanan di bawah kategori B40 yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.
“Skim ini boleh digunakan untuk mendapatkan semula modal pusingan memulakan kembali perniagaan yang terjejas serta sebagai modal permulaan kepada usahawan baru yang ingin menceburi bidang agromakanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ronald berkata, pakej itu turut mendukung inisiatif memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.
“Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.
“Ini selaras dengan usaha kementerian yang memberikan penekanan yang lebih bagi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Tambah beliau, kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro termasuk peniaga pasar tani untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai juga diteruskan.
Katanya, inisiatif itu akan terus mengalakkan penyertaan pengusaha agromakanan ke platform dalam talian yang efektif bagi menembusi pasaran yang lebih luas sepertimana yang sedang dilaksanakan kempen sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ini termasuk usaha pemadanan pengeluar dan pengusaha hasil pertanian di bawah Jabatan dan Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) dan syarikat-syarikat e-dagang.
“Kementerian sedang bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian secara pukal sekaligus meningkatkan jualan dan pendapatan mereka,” katanya.
Ronald berkata, kementerian akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudahcara dalam menjayakan setiap pakej ekonomi yang diumumkan bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi.
“Bantuan-bantuan bersasar di bawah pakej Pemulih akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agromakanan dan secara langsung dapat membantu golongan terkesan terutamanya mereka yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan yang berada dalam kategori B40 untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh, Muar Johor.
Di,bawah MAFI Prihatin, sebanyak 1,000 kotak makanan (foodbox) diedarkan kepada penduduk kawasan setempat yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 serta kepada petugas barisan hadapan termasuk yang bertugas di PPV Kompleks Sukan Pagoh.
Antara barangan sumbangan di dalam kotak makanan yang disampaikan adalah barangan keperluan seperti beras, gula, tepung serta produk-produk makanan berasaskan nanas.
Turut disampaikan adalah buah nanas serta produk-produk nanas sebagai kempen promosi makan nanas bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia supaya mengamalkan pemakanan buah-buahan berkhasiat seperti nanas serta membantu pekebun-pekebun dan usahawan pemasar LPNM untuk meningkatkan lagi jualan hasil buah nanas mereka dengan peningkatkan permintaan di pasaran.
Dalam pada itu, Ronald juga mengumumkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan pertanian termasuk Projek Pertanian Organik dan Program Kebun Komuniti (Kebuniti) di bawah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) yang berjumlah RM1 juta manakala pelaksanaan Projek Pertanian Organik di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang berjumlah RM500,000 bagi memanfaatkan penduduk setempat di Kawasan Pagoh.
“Projek Pertanian Organik dan Kebuniti adalah antara inisiatif di bawah Bajet 2021 bagi mewujudkan aktiviti pertanian untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kos sara hidup serta memberi pulangan lumayan melalui aktiviti pertanian bernilai tinggi dalam skala besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE