LearninPal: Platform pembelajaran menyeluruh, interaktif - Utusan Malaysia

LearninPal: Platform pembelajaran menyeluruh, interaktif

Kelas secara maya yang boleh diikuti oleh pelajar di platform LearninPal. - GAMBAR MPH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pendidikan negara tidak terkecuali daripada amalan norma baharu sejak tersebarnya virus pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

Malah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini telah memberi impak besar kepada semua sektor terutama sektor pendidikan.

Perkembangan itu mendesak para pendidik dan pelajar menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya.

Dengan objektif agar sesi PdP dapat dilaksanakan seperti biasa meskipun dalam norma baharu, MPH Bookstores Sdn. Bhd. telah melancarkan sebuah platform ePembelajaran, LearninPal yang boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.learninpal.com.

Antara mata pelajaran yang terdapat di dalam platform LearninPal.

Platform ini menggabungkan bahan-bahan dan sumber-sumber pembelajaran serta kebolehan menjalankan kelas maya interaktif pada masa sama, menjadikannya platform pembelajaran digital yang komprehensif, selamat dan berintegriti.

Menurut Ketua Pembangunan Strategik dan Perniagaan LearninPal, Kuah Sze Mei, LearninPal dibangunkan dengan satu matlamat iaitu memberikan penyelesaian pengajaran dan pembelajaran kepada para pendidik, ibu bapa dan para pelajar melangkaui batas masa dan lokasi.

“Platform ini memudahkan akses penggunaan kandungan digital 24 jam sehari, 365 hari setahun, di mana bahan pembelajaran berada di dalam satu aplikasi menjadikanya platform pembelajaran digital sehenti semua-dalam-satu,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif ini diharap dapat memanfaatkan 425,000 warga pendidik dan 4.7 juta pelajar di seluruh negara.

Ini kerana, ia mengandungi lebih 900 kandungan bahan pembelajaran seperti buku rujukan dan latihan daripada penerbit terkemuka seperti Ilmu Bakti, Penerbitan Pelangi serta Fargoes yang boleh diakses secara dalam talian dengan format eBook.

Pilihan bahan rujukan ini memberi fokus kepada pelajar berusia antara 7 hingga 17 tahun terutama pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di samping itu, pelajar juga boleh membuat lebih 200 soalan kuiz daripada kertas model peperiksaan secara interaktif dan menyemak prestasi mereka sebaik sahaja menyiapkan latihan melalui papan skor.

Pelajar boleh menguji kebolehan dengan menjawab soalan-soalan kuiz yang terdapat di dalam platform LearninPal.

Selain itu, bagi membantu pelajar mencapai potensi akademik maksimum dan memberi pengalaman baharu dalam pembelajaran, LearninPal mengambil pendekatan holistik dengan menyediakan elemen gamifikasi, realiti tertambah (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Ciri-ciri yang terdapat dalam aplikasi LearninPal dapat menerapkan kemahiran pembelajaran kendiri dan melatih pelajar untuk memantau perkembangan akademik masing-masing.

Bahan-bahan pembelajaran yang disediakan disemak oleh pakar bidang khusus atau pendidik berpengalaman dan bertauliah sebelum diterbitkan untuk setiap subjek, agar bahan-bahan itu selaras dengan piawaian yang digariskan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) oleh Kementerian Pendidikan.

Platform itu juga mempunyai fungsi Perkongsian dan Kolaborasi Kreatif, di mana guru-guru dan para pencipta kandungan digital (digital content creator) boleh menggunakan platform berkenaan sebagai medium perkongsian nota dalam bentuk penulisan atau video, tips dan hasil kreatif mereka untuk diterbitkan secara digital.

LearninPal juga menyediakan kemudahan kelas maya interaktif yang dilengkapi dengan ciri papan putih interaktif, panggilan video dan audio bagi memudahkan interaksi di antara pelajar dan guru agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menyamai sesi PdP sebenar di sekolah, ataupun mirip persekitaran bilik darjah yang sebenar.

“Kami berharap platform pembelajaran digital ini akan memberi demokrasi kepada pembelajaran kerana ia mudah diakses, inklusif dan menyeronokkan, dan seterusnya memantapkan kemahiran pelajar untuk keperluan masa hadapan, tanpa mengira persekitaran atau keadaan mereka,” tambah Sze Mei.

Untuk mengalami pembelajaran menyeluruh di LearninPal, orang ramai boleh memuat turun aplikasi di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery atau layari www.learninpal.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya