KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini mengesan dokumen kelahiran tiga bayi perempuan yang didakwa tertukar dalam kejadian di daerah ini kira-kira 20 tahun lalu.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, setakat ini, pihaknya tidak mendapat maklumat lokasi sebenar kelahiran bayi-bayi berkenaan kerana laporan media hanya menyebut kejadian itu berlaku di salah sebuah hospital di Kota Bharu.
“Buat masa ini, kita masih cuba mendapatkan rekod kelahiran bayi yang didakwa tertukar itu memandangkan kejadian berlaku lebih 20 tahun lalu. Ia melibatkan banyak prosedur dan pelbagai pihak yang terlibat.
“Mungkin rekod kelahiran mereka masih tersimpan atau sebaliknya. Ini kerana, ada antara dokumen telah lupus ekoran bencana banjir pada 2004 dan 2014,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri program sumbangan barangan perubatan yang disampaikan wakil Persatuan Tzu Chi Buddhist Kelantan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tanjung Chat di sini.
Mengulas lanjut, Dr. Selasawati berkata, siasatan perlu dilakukan dengan teliti bagi menyemak fail dan dokumen kelahiran kerana pihaknya menyimpan fail-fail pediatrik selama 21 tahun.
“Bagaimanapun, disebabkan dua kali kejadian banjir berlaku, ada juga fail telah dilupuskan.
“Saya berbesar hati sekiranya ahli keluarga bayi yang tertukar sejak 20 tahun itu datang bertemu dengan pihak HRPZ II dalam usaha mendapatkan kepastian mengenai perkara itu,” katanya.
Semalam tular di media sosial laporan berita mengenai dua keluarga terpaksa melalui detik sukar apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu.
Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20,bersama kembar, Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun lalu selepas menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).- UTUSAN