Gembleng kepakaran hasilkan vaksin - Utusan Malaysia

Gembleng kepakaran hasilkan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 64 tahun merdeka Malaysia boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang penyelidikan. Universiti-universiti awam setiap tahun menghasilkan pelbagai bentuk penyelidikan yang ada antaranya mampu memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

Sebab itu kalau kita layari laman-laman web rasmi universiti-universiti awam, kita dapat lihat portfolio masing-masing dengan pelbagai enugerah yang dimenangi hasil daripada penyelidikan tenaga akademik mereka. Ada yang memang anugerah pingat emas di Switzerlangf, di London, di Jerman dan lain-lain lagi. Semua ini menggambarkan keupayaan para penyelidik kita untuk menghasilkan sesuatu yang diterima di peringkat dunia.Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang penyelidikan ini terutama yang membabit penyakit dan kesihatan termasuk menghasilkan vaksin.

Mungkin ada yang memandang sinis apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata Malaysia kini dalam proses untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri. Ia bukan perkara mustahil, Malaysia yang sepatutnya mencapai status negara maju pada tahun lalu tidak boleh ketinggalan dalam bidang penghasilan vaksin terutama untuk virus-virus bahaya termasuk Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila kita memiliki keupayaan itu ia mampu memberi jaminan keselamatan kesihatan kepada rakyat kita. Usaha mendapatkan vaksin Covid-19 sekarang ini boleh dijadikan ikhtibar bagaimana kelam kabutnya kita apabila pihak pembekal gagal membekalkan jumlah vaskin seperti mana yang kita tempah. Akibatnya program vaksinasi kebangsaan terjejas. Angka yang sepatutnya dicapai tidak dicapai.

Walaupun ada yang sinis menghasilkan vaksin sendiri ibarat angan-angan Mat Jenin, tetapi yakinlah kita memiliki keupayaan itu. Soalnya sekarang bagaimanakah kita perlu menggembleng tenaga untuk merealisasikan cita-cita ini. Rasanya, kita tidak mempunyai masalah daripada segi tenaga pakar. Setiap tahun ratusan pakar berkaitan penyakit, virus, dan sebagainya dilahirkan.

Mungkin kemudahan makmal penyelidikan yang perlu dipertingkatkan supaya memenuhi piawaian antarabangsa. Sudah tiba masanya Malaysia memiliki makmal penyelidikan dan penghasilan vaksin ini.

Memang ia akan membabitkan kos berbilion ringgit. Tetapi demi untuk keperluan masa depan, ia memang perlu. Tidak rugi kalau dilaburkan berbilion ringgit untuk tujuan. Sekarang ini pun ada kalanya kita membazirkan berbilion untuk perkara yang kurang memberi faedah kepada rakyat.

Mungkin juga boleh digerakkan kerjasama kerajaan-swasta bagi tujuan ini. Setiap tahun ada saja syarikat swasta negara yang mencatat untuk berbilion ringgit. Apa salahnya jika disumbangkan sikit untuk tujuan ini.

Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai kapasiti sendiri dalam bidang penghasilan vaksin ini kerana masa depan kita tidak tahu apa cabaran yang menanti.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini