Gagal jaga jarak tertinggi ingkar SOP, lagi lokaliti di Sabah dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

Gagal jaga jarak tertinggi ingkar SOP, lagi lokaliti di Sabah dikenakan PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan  780 individu diberkas dengan kesalahan tertinggi melibatkan tiada jarak fizikal sebanyak 152 kes.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 748 dikompaun manakala 32 lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 94,095 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan. 

 “Kesalahan lain direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka dengan 137 kes disusuli gagal merekod butiran di premis sebanyak 135 kes, membawa penumpang berlebihan dalam kenderaan (54), tidak mematuhi arahan PKP (70), dan lain-lain lagi (232).

“Lima pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng serta sebanyak 196 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri,  seramai 544 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin bersama sejumlah 8,669 individu masih lagi berada di pusat kuarantin seluruh negara selain seramai 2,671 individu dibawa ke hospital, manakala 214,262 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 550 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang serta  melakukan 1,378 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 12 premis yang terlibat dikenakan kompaun.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, lima lagi lokaliti di Sabah bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak berkuat kuasa Selasa ini sehingga 28 Jun depan.

Katanya, sebanyak empat lokaliti berkenaan terletak dalam Bahagian Pantai Barat dengan dua daripadanya di Daerah Tuaran  iaitu Taman Telipok Jaya dan Kampung Penimbawan selain Kampung Lebak Moyoh, Daerah Kota Belud dan Taman Puri Warisan, Daerah Kota Kinabalu serta satu lokaliti di Bahagian Tawau iaitu di Batu 3.5, Jalan Apas Kiri.

 Namun ujarnya, satu lagi lokaliti yang dilaksanakan PKPD secara serentak selama 14 hari ialah di negeri jirannya, Sarawak iaitu Kampung Tabuan Haji Drahman, Bahagian Kuching.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dua lokaliti yang sedang dilaksanakan PKPD di Sabah dan sepatutnya akan berakhir esok, telah dilanjutkan lagi sehingga 28 Jun ini melibatkan Taman Pelangi, Daerah Semporna, Bahagian Tawau dan Kampung Tanjung Kapor, Bahagian Kudat.

Bagaimanapun, ujar beliau, dua lokaliti di negeri itu ditamatkan PKPD esok iaitu sehari lebih awal daripada sepatutnya 15 Jun ini iaitu di Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Daerah Beaufort, Bahagian Pedalaman dan Kampung Kuala Menggatal, Daerah Kota Kinabalu, Bahagian Pantai Barat.

Beliau berkata, turut ditamatkan PKPD di negeri tersebut secara serentak pada esok seperti tarikh yang dijadualkan ialah Kampung Assam, Daerah Lahad Datu, Bahagian Tawau serta Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat masing-masing ialah di Kampung Payas-Payas dan Kampung Rampayan Laut.

“PKPD turut akan ditamatkan pada esok sebagaimana yang dijadualkan di Lubuk Kawah dan Bandar Darulaman, terletak di Mukim Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya