Ejen hartanah rugi RM2.7 juta ditipu sindiket Love Scam - Utusan Malaysia

Ejen hartanah rugi RM2.7 juta ditipu sindiket Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ejen penilai hartanah rugi RM2.7 juta ditipu sindiket Love Scam didalangi warga Nigeria awal Jun ini. 

Wanita berusia 44 tahun itu berkenalan dengan lelaki didakwa warga Amerika, Eric Tan melalui aplikasi Tinder yang kononnya berada di negara ini untuk berkursus di Johor Bharu. 

Suspek kemudian mendakwa dia ditahan di lapangan terbang sebelum meminta bantuan wanita itu untuk meminjamkan sejumlah wang. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, akibat terpedaya dengan kata-kata lelaki itu, mangsa membuat 11 transaksi membabitkan wang sebanyak RM2.7 juta. 

Menurut beliau, bagi meyakinkan mangsa, suspek turut membuat perjanjian pinjaman menggunakan nama ‘syarikat’. 

“Bagaimanapun, lelaki itu gagal dihubungi dan menghilangkan diri sebelum mangsa menyedari dia ditipu,” katanya dalam sidang akhbar melalui aplikasi Zoom di sini hari ini. 

Kamarudin memberitahu, polis menahan lima warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam enam serbuan di sekitar Cheras dan Kajang bagi membantu siasatan.

Katanya, polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan sindiket antaranya telefon bimbit, komputer riba dan modem. 

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu menjalankan kegiatan tersebut sejak tahun 2016 dengan menyasarkan wanita tempatan dengan menjerat mereka di media sosial. 

Ujarnya, sindiket tersebut beroperasi secara berasingan dalam dua kumpulan yang berbeza. 

“Satu kumpulan berperanan mencipta akaun palsu dalam media sosial menggunakan akaun palsu ini akan mula mencari kenalan dan berkomunikasi dengan mangsa manakala kumpulan  kedua bertindak sebagai ejen pencari akaun keldai bank di dalam negara mahupun akaun luar negara. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati warga Nigeria itu masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar namun telah tamat tempoh. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/62 (Pindaan 2002) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” ujar beliau. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama wanita agar sentiasa berwaspada dengan warga maya atau kenalan baru yang ingin menjalinkan hubungan di laman media sosial terutamanya yang menjanjikan hadiah sebagai tanda kasih sayang kerana itu adalah taktik bagi mengaburi mata untuk membuat pembayaran yang akhirnya merugikan mangsa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya