IPOH: Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kumpulan media di negeri ini bagi membantu meringankan beban ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Dana dikumpulkan melalui tabung persatuan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak didahului oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diikuti Pejabat Menteri Besar Perak, Ahli Parlimen, badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu persendirian.
Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, menerusi dana itu, hampir 100 pengamal media tersenarai sebagai penerima bantuan dengan setiap daripada mereka menerima wang tunai antara RM200 hingga RM500 membabitkan jumlah keseluruhan RM35,000.
“Ia diberikan secara ‘one off’ dan berperingkat sejak 16 Jun lalu merangkumi pelbagai agensi media cetak dan penyiaran, akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India yang terkesan dalam pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sumbangan itu antara lain sebagai menghargai peranan petugas media yang terus bekerja dan mencari bahan berita untuk menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai terutama berkaitan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.
Katanya, bantuan ini juga diharap dapat memberi semangat kepada petugas media untuk terus komited dalam menjalankan tugas.
“Kesempatan ini juga PPMP merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu serta prihatin dengan situasi semasa pengamal media di negeri ini terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE