Apa rundingan Pas dengan Bersatu? Kita tidak mahu tahu - Utusan Malaysia

Apa rundingan Pas dengan Bersatu? Kita tidak mahu tahu

Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA merupakan salah sebuah negeri yang berjaya dikuasai kembali UMNO tanpa melalui pilihan raya selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan negeri.

Boleh dikatakan UMNO agak kuat di negeri ini berbanding komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Pas yang menguasai 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen iaitu Jasin.

Parlimen Masjid Tanah merupakan kerusi UMNO pada asalnya, namun bertukar milik kepada Bersatu selepas penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melompat parti.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan jurufoto, RASUL AZLI SAMAD, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, DATUK SERI AB. RAUF YUSOH berkongsi pendapatnya berkenaan citra politik semasa.

UTUSAN: Bila agaknya tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

AB. RAUF: Sekarang masih darurat. Hendak buat apapun kena selepas darurat. Selepas 1 Ogos 2021, kerajaan tiada pilihan perlu panggil Parlimen. Kalau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat majoriti, dia selamat. Tiada majoriti tentulah pilihan
raya. Walaupun kes sekarang masih melebihi 5,000, pada pandangan saya apa kena mengena dengan darurat? Kita ada penguatkuasaan yang baik. Darurat tidak menjamin Covid-19 tidak merebak.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, UMNO hanya boleh menang 10 kerusi Parlimen kalau bersendirian. Pandangan Datuk Seri?

Dia buat analisis daripada mana? Saya pun hendak tanya juga kalau analisis itu berdasarkan kajian yang terperinci, bolehlah kita terima. Tetapi kalau sekadar anggapan, nampak macam sudah memesongkan sebenar. Parti sudah pasti ada pengiraan. Tengok dalam Melaka, kita menang Jasin dan kita menang Masjid Tanah. Sudah dua, tak mungkin Johor kita menang satu, sana satu dan sini satu. Daripada 222 Parlimen, tidak mungkin UMNO hanya boleh menang 10 kerusi. Logik mana yang bercakap ini? Sekarang pun yang ‘solid’ kita ada 40 kerusi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid pernah berkata, mereka sanggup melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada UMNO. Nampak macam Bersatu mula berlembut. Komen Datuk Seri?

Ia mesti menjurus kepada soal apa akan berlaku sekiranya tidak ada kerjasama di antara parti-parti Melayu. Maksudnya UMNO, Pas dan Bersatu. Semua parti akan kalah, yang menang adalah parti yang menentang kita. Jadi kalau kita tidak boleh cari satu titik persamaan yang boleh memberikan pulangan politik yang baik kepada semua orang, baik kita jangan duduk semeja. Tapi kalau boleh duduk semeja, kenapa tidak? Bagi saya UMNO mempunyai satu kekuatan yang jauh lebih besar daripada mana-mana parti politik yang lain. Seharusnya meja rundingan dengan UMNO, perlu ada satu ruang yang mana UMNO boleh dilihat memainkan peranan besar dalam setiap rundingan.

Apa situasi sebenar Muafakat Nasional (MN) di Melaka?

Sebenarnya kalau kita tengok MN di Selangor dan Pahang termasuk di Melaka, akar umbi melihat gabungan UMNO dengan Pas akan memberikan keputusan pilihan raya yang baik. Sebenarnya di Melaka, Pas belum lagi dilihat sebagai sebuah parti yang boleh membantu untuk membentuk kerajaan. Dia tidak menang mana-mana kerusi pun. Jadi atas sifat keterbukaan UMNO yang saya pimpin, kita boleh berunding dengan Pas supaya mengelakkan daripada yang pertama, pertandingan tiga penjuru. Yang kedua memberi ruang kepada Pas untuk bersama dengan UMNO. Tetapi apa rundingan dia dengan Bersatu kita tidak tahu dan kita tidak mahu tahu. Kita memberi ruang yang luas kepada Pas untuk bersama-sama dengan kita kerana kalau lihat ukuran kekuatan parti dalam Melaka, UMNO jauh lebih teratur dan terancang daripada Bersatu. Jadi Pas mesti melihat ukuran politik sebegitu sebelum membuat keputusan sama ada di peringkat pusat ataupun DUN.

Masjid Tanah, dikatakan penyandangnya sangat kuat. Bagaimana Datuk Seri?

Masjid Tanah, awak pun boleh lihat bagaimana kekuatan Masjid Tanah. Kalau tanya saya, UMNO di Masjid Tanah masih utuh. Tidak kisahlah penganalisis politik cakap dia (Mas Ermieyati) kuat tetapi kenyataannya tidak sama. Bersatu berapa ahli di Masjid Tanah? Kalau setakat datang 200 orang, 100 orang merupakan ahli UMNO yang lari masuk Bersatu, memanglah dia boleh menang pemilihan Ketua Bahagian Bersatu. Berbanding dengan UMNO punya kekuatan, kita ada cawangan di setiap kampung dan di setiap peringkat. Kalau perwakilan 300 orang, hendak ukur apa kata kuat? Berbanding dengan ahli UMNO ada 26,000 orang di sini. Saya tidak pernah mengatakan Parlimen Masjid Tanah ini merupakan deposit selamat dalam mana-mana pilihan raya. Kita kena kerja kuatlah untuk mempertahankan kerusi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×