KUALA NERUS: Jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 dalam kalangan komuniti Kampung Baru Pulau Redang di sini mencecah 805 orang berbanding 1,000 yang disasarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Maarop Ismail berkata, daripada jumlah itu seramai 399 adalah penduduk manakala baki 406 lagi adalah pekerja resort dan penggiat pelancongan.
Menurut beliau, penerimaan masyarakat terhadap vaksin Covid-19 itu sebagai persediaan awal untuk menerima kemasukan pelancong sekiranya aktiviti di pulau-pulau peranginan dibenarkan beroperasi selepas musim tengkujuh berakhir tahun depan.
“Segelintir warga emas menolak vaksin kerana takutkan jarum selain ada yang terpengaruh dengan dakyah negatif.
“Tetapi kita yakin usaha memberi penerangan kepada mereka membuahkan hasil kerana sudah 805 orang membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan melalui borang-borang yang diedarkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Sanuddin Shafie, 45, berkata, dia bersama isteri, Siti Fatimah Abdul Manan, 44, bersedia untuk menerima vaksin bagi menjamin tahap kesihatan keluarga.
Katanya, usaha itu dalam masa sama memberi keyakinan kepada pelancong yang berkunjung ke kedai makan milik mereka sebaik sahaja pulau beroperasi.
Seorang lagi penduduk, Normah Mohamed Ariff, 65, memberitahu, pada awalnya dia bimbang untuk menerima suntikan vaksin kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Saya mendaftar vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Pulau Redang dan selepas mendapat penjelasan kakitangan kesihatan, saya tidak lagi takut untuk disuntik,” katanya.- UTUSAN