SUNGAI PETANI: Seramai 10 sekeluarga berusia antara satu tahun hingga 54 tahun yang tinggal sebumbung di Sungai Layar, di sini disahkan positif Covid-19 sejak Selasa lalu.
Ahli keluarga tersebut dijangkiti Covid-19 daripada Kluster Dah Bukit Makmur membabitkan sebuah kilang memproses ayam di Sungai Lalang, di sini.
Seorang ahli keluarga itu, Muhammad Ammar Faiz Mohd. Rashid, 27, berkata, mereka sekeluarga disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan pada Selasa lalu.
Menurut Muhammad Ammar Faiz, isterinya, Norhanis Nadjwa Jamal Khushairi, 26, yang hamil empat bulan juga disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan kedua, kelmarin.
“Pada awalnya, hanya sembilan orang yang positif kerana keputusan saringan pertama isteri saya negatif.
“Namun isteri saya yang hamil anak pertama disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan kali kedua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Muhammad Ammar Faiz yang kini masih menerima rawatan di Hospital Lama Sungai Petani berkata, mereka sekeluarga mendapat jangkitan Covid-19 daripada bapa, Mohd. Rashid Shaari, 53, dan ibu, Rozana Hassan, 54, yang merupakan pengusaha kantin di kilang tersebut.
“Sebelum ini, ayah mengalami demam selama seminggu dan pada awalnya pihak hospital mengesyaki ayah terkena demam denggi.
“Namun hasil ujian darah menunjukkan sebaliknya menyebabkan pihak hospital melakukan ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah positif. Bapa sekarang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya.
“Kami sekeluarga perlu kuat melawan virus ini dan meminta orang ramai doakan kami supaya kembali sihat seperti sediakala,” katanya. – UTUSAN ONLINE