PETALING JAYA: Tanpa menyebut mana-mana pihak, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, keperluan menziarahi ibu bapa adalah lebih utama berbanding memenuhi undangan artis.
Beliau berkata demikian menerusi ciapan Twitter akaunnya hari ini.
“Saya rasa jika hendak dibandingkan pasti keperluan menziarahi ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” katanya.
Beliau dipercayai merujuk perkara itu berkenaan terhadap segelintir pihak yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Terbaharu ia membabitkan kehadiran seorang pendakwah bebas, Azhar Idrus ke majlis tahnik anak lelaki kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pada baru-baru ini.
Pertikaian tersebut mula timbul selepas beberapa keping foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas itu dilihat hadir ke majlis berkenaan yang diadakan di kediamannya pada Khamis lalu.
Susulan daripada foto tular berkenaan, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah itu yang dipercayai menetap di Terengganu dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.
Malah terdapat juga netizen yang melahirkan rasa terkilan terhadap penganjuran majlis berkenaan di saat semua rakyat Malaysia dilarang merentas negeri selain tujuan kecemasan. – UTUSAN