Wanita profesional guna agensi cari jodoh - Utusan Malaysia

Wanita profesional guna agensi cari jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada masa, sibuk bekerja serta bimbang dicerca masyarakat kerana tidak berkahwin mendorong ramai wanita profesional menggunakan khidmat agensi mencari jodoh di negara ini bagi bertemu pasangan masing-masing.

Malah terdapat juga wanita sekitar usia 40 dan 50 tahun lebih rela memilih bakal pasangan lebih muda asalkan mereka mempunyai peneman hidup berbanding hidup secara solo.

Lebih mengejutkan, mereka ini kebanyakannya mempunyai kerjaya dan kedudukan tinggi dalam karier masing-masing misalnya ahli perniagaan, pensyarah, peguam dan jurutera.

Menceritakan lebih lanjut kepada Utusan Malaysia, pemilik Agensi Mencari Jodoh, Zainudin Mohd. Jaafar berkata, wanita-wanita berkenaan juga tidak kisah untuk berpoligami di samping mendapat bakal pasangan yang tidak setaraf dari segi pangkat dan kedudukan.

Katanya, sejak dia membuka agensi mencari jodoh bermula 2016, lebih 500 daripada 1,000 pelanggan merupakan golongan wanita manakala 400 masih mencari mencari suami.

“Mereka berbuat demikian sebab sudah banyak berikhtiar dan guna pelbagai kaedah termasuk mengenali rakan-rakan sekolah, tetapi akhirnya gagal. Justeru, jalan terakhir adalah perkhidmatan agensi mencari jodoh yang ruangnya sentiasa terbuka buat mereka.

“Selain itu, mereka juga terdesak sebab ingin kahwin cepat-cepat untuk dapat anak, kalau lambat sukar dapat zuriat pula. Malah mereka tidak tahan dengan kerenah masyarakat sekeliling yang sering memandang serong kepada wanita belum berumah tangga,” katanya.

Namun kata Zainuddin, masih terdapat wanita dilihat agak cerewet mencari pasangan meskipun usia sudah lanjut.

“Dalam kes ini, mereka nak suami muda, ada rupa dan juga mempunyai kedudukan kewangan. Sebab itulah, ada segelintir pelanggan kami sampai hari ini tidak berkahwin kerana agak memilih dan cerewet.

“Kalau situasi itu, pihak kami hendak buat macam mana lagi sebab kita dah cuba memperkenalkan pasangan tetapi mereka sendiri menolak cinta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainuddin memaklumkan, pihaknya tidak mudah mengambil pelanggan dan mereka perlu menjalani tapisan ketat sebelum membuat pembayaran RM500 sekali seumur hidup sebagai tanda setuju sebelum diperkenalkan bakal pasangan.

“Yang penting perlu ada kejujuran dan saling faham-memahami antara satu sama lain. Kalau gunakan perkhidmatan kami untuk berkenalan semata-mata meminjam wang, saya tidak benarkan ia berlaku.

“Oleh itu orang ingat agensi mencari jodoh satu pekerjaan mudah, sebaliknya agak susah khususnya menghubungkan dengan pasangan sesuai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×