Usaha bawa masuk 20,000 pekerja asing - Utusan Malaysia

Usaha bawa masuk 20,000 pekerja asing

MOHD. KHAIRUDDIN Aman Razali (tiga dari kanan) menunjukkan isyarat bagus bersama 30 wakil syarikat yang terlibat dalam industri perkayuan selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra, Dialog dan Majlis Iftar Ramadan di Hotel La Crista, Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberi jaminan mendapatkan pengecualian kerajaan bagi pengambilan kira-kira 20,000 pekerja asing yang diperlukan oleh sektor perkayuan.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan perlu memberi pertimbangan membenarkan pengambilan tersebut memandangkan sektor perladangan dan komoditi adalah yang paling besar bergantung kepada tenaga bukan warganegara.

Katanya, sektor itu menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja memandangkan pekerja tempatan tidak begitu berminat walaupun kementerian menyediakan pelbagai insentif.

“Setiap dialog yang saya hadiri, hampir kebanyakan syarikat terlibat dalam industri perkayuan merungut dan merayu kepada kementerian untuk membantu menyelesaikan masalah mendapatkan pekerja asing.

“Saya amat prihatin dengan masalah yang dihadapi sektor ini. Justeru, saya sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan.

“Setakat ini pada dasarnya, pengambilan pekerja asing untuk sektor kelapa sawit dalam proses untuk mendapat kelulusan dan usaha sedang dibuat pula bagi sektor perladangan dan komoditi,” katanya ketika sidang akhbar di di Hotel La Carista, Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri Sesi Ramah Mesra, Dialog dan Iftar Ramadan bersama wakil daripada 30 syarikat yang terlibat dalam industri kayu-kayan.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengerusi Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd. Noor.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kerajaan masih dengan pendirian tidak membenarkan pengambilan pekerja asing untuk sektor perladangan ke negara ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin mencadangkan syarikat terlibat cuba mencari jalan untuk menarik minat anak tempatan bekerja di sektor perladangan.

“Pada masa yang sama juga, kementerian sedia membantu syarikat-syarikat dalam sektor perladangan untuk membuat promosi pekerjaan melalui laman sesawang MyfutureJobs yang terletak di bawah Kementerian Sumber manusia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya