UMNO yakin jadi parti dominan PRU-15 - Tajuddin

UMNO yakin jadi parti dominan PRU-15

tajuddin
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO menaruh keyakinan menjadi parti dominan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mengambil kira senario politik semasa khususnya kekecewaan rakyat terhadap kerajaan 22 bulan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih belum ditebus.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ma­salah dihadapi negara kini seperti kelembapan ekonomi, perumahan dan janji-janji ma­nifesto tidak ditunai merupakan rentetan dan kesan ke­gagalan kerajaan pimpinan Dr. Mahathir.

“Kerajaan hari ini boleh me­ngubah kesilapan itu dan kerana itu UMNO menyokong kerajaan hari ini kerana menaruh harapan yang tinggi kesilapan lalu di bawah pimpinan Dr. Mahathir agar dapat ditebus.

“Tetapi malangnya kerajaan masih dibelenggu dengan pelbagai masalah yang tidak dapat menebus kesilapan Pakatan Ha­rapan (PH),” katanya kepada Utusan malaysia semalam.

Beliau mengulas wawancara Dr. Mahathir bersama Mingguan Malaysia kelmarin apabila Ahli Parlimen Langkawi itu membayangkan tidak akan ada mana-mana parti memenangi kerusi pada PRU-15 boleh membentuk sebuah kerajaan stabil memandangkan kini terlalu banyak parti yang mahu bertanding, namun tidak ada satu pun parti dominan.

Dalam pada itu, Tajuddin merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak melahirkan keyakinan UMNO akan menjadi parti dominan mengatasi parti-parti lain secara berasingan dalam pilihan raya umum.

Katanya, hal ini kerana UMNO mempunyai kekuatan berbanding parti lain yang bergabung di atas nama parti tetapi tidak ada akar umbi dengan tidak mempunyai cawangan dan Pusat Daerah

Mengundi (PDM), sekali gus tidak dapat menyaingi UMNO memiliki 191 bahagian dan lebih 21,000 cawangan.

“Walaupun UMNO menga­kui bilangan cawangan dan ahli berjuta-juta bukan jaminan kemenangan sesebuah parti namun tidak dapat dinafikan struktur parti berkenaan membantu gerak kerja parti. Itu logiknya dan UMNO berada di kedudukan atas berbanding parti-parti lain,” katanya.

Tajuddin menegaskan ke­ka­lahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana fitnah dibawa oleh PH dan Dr. Mahathir sendiri apabila menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi terutamanya orang muda dengan kononnya tidak perlu lagi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta janji-janji kosong mahu menghapuskan tol dan mengurangkan harga barang ke­perluan harian.

“Ini menyebabkan ramai terpesona dengan janji-janji melangit itu termasuk mahu menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada orang muda dan lebih banyak rumah.

“Tetapi hari ini senario sudah berbeza. Rakyat sudah tahu tembelang PH dan Dr. Mahathir. Pengundi kini boleh bezakan antara kerajaan BN, PH dan Perikatan Nasional (PH). Dulu sebelum PRU-14, rakyat mahu cuba-cuba tetapi kini mereka boleh bezakan mana satu intan, mana satu permata,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya