fbpx

UMNO ambil kerusi ‘dipinjam’ Bersatu

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO akan mengambil semula kerusi yang ‘dipinjam’ oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas berlaku tindakan lompat parti melibatkan calon mereka sebelum ini.

Pengarah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, selama ini parti itu hanya berdiam sepanjang Bersatu ‘meminjam’ kerusi mereka dan harus dipulangkan kembali kepada UMNO memandangkan ia adalah kerusi tradisi parti berkenaan.

HAMZAH ZAINUDDIN

Kerusi itu, kata beliau, termasuk Parlimen Larut yang kini dipegang Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Saya setuju dengan kenyataan Setiausaha UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, kita kena ambil balik sebab itu kerusi UMNO. Sekarang Bersatu dah ambil, kira pinjam sampai sekarang. Cukup masa kita ambil balik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, UMNO dilaporkan sedang memilih calon sesuai bagi bertanding kerusi Parlimen Larut selepas wakil rakyatnya, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri keluar dari parti tersebut untuk menyertai Bersatu selepas PRU-14.

Namun, Tajuddin berkata, setakat ini UMNO belum memutuskan siapa calon yang layak untuk bertanding di kawasan itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Larut.

Saarani berkata, calon anak tempatan adalah yang paling sesuai diletak untuk bertanding di Larut bagi mencabar Hamzah dan ia diputuskan oleh bahagian UMNO di kawasan itu sendiri.

Pada PRU-14, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti sebanyak 4,486 undi. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI