Tun Arifin Zakaria dilantik Pengerusi PNB - Utusan Malaysia

Tun Arifin Zakaria dilantik Pengerusi PNB

TUN ARIFIN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NURFARAHIN HUSSIN

PETALING JAYA: Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan pelantikan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pemegang Amanah YPB, berkuat kuasa semalam.

YPB juga mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Arifin adalah Ketua Hakim Negara antara tahun 2011 dan 2017 dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 2008 hingga 2011. 

Sebelum itu, Arifin telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan Kerajaan Malaysia, termasuk sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan, Penasihat Undang-undang kepada Kementerian Perusahaan Utama dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam, serta Timbalan Penggubal Parlimen dan Peguam Persekutuan Kanan Jabatan Hasil Dalam Negeri. 

Pada 1992, Arifin dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dua tahun kemudian, sebelum ditugaskan ke Mahkamah Rayuan Malaysia pada 2002 dan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 2005.

Arifin mengikuti pengajian Undang-Undang di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan mendapat ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari University College London, UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.

Sementara itu, Norazah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG) yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia Tenggara. 

Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan, serta tadbir urus. 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan dua nama besar itu ke dalam organisasi.

“Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan PNB mengalu-alukan Tun Arifin dan Datin Norazah ke Lembaga Pengarah PNB dan teruja menantikan sumbangan mereka dalam mengawasi institusi dan aset yang diuruskan bagi pihak 14 juta rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN