PETALING JAYA: Kerajaan dipersoal sama ada akan membenarkan Malaysia menjadi satu-satunya negara yang melumpuhkan sistem Parlimen bagi menangani krisis pandemik atau membuat sesuatu bagi mengembalikan hak demokrasi.
Malah, kerajaan boleh menguatkuasakan ordinan tertentu ketika penguatkuasaan Proklamasi Darurat bagi membolehkan Parlimen bersidang menumpukan perhatian terhadap penyelesaian krisis kesihatan serta kemelut ekonomi.
Ini kerana, perkara yang paling penting adalah membenarkan Ahli Parlimen membuat semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan penularan Covid-19 semakin memburuk.
Justeru, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai kaedah termasuk membolehkan Parlimen bersidang secara maya serta menggunakan platform tertentu seperti aplikasi ZOOM yang turut menyediakan fungsi undi.
Hal itu dinyatakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang kecewa dengan sikap pegawai kerajaan dan anggota kabinet termasuk Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengenai kelumpuhan Parlimen.
“Satu ordinan boleh dimasyhurkan agar Parlimen dapat bersidang tanpa usul tidak percaya terhadap kerajaan dibentangkan. Tidak ada Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh diadakan sehingga imuniti kelompok sebanyak 50 peratus dicapai ketika pandemik ini berjaya dikawal.
“Dana boleh dilaburkan supaya sidang Parlimen dapat dijalankan secara maya bersama sistem tutur-ke-teks. Ia tidaklah mahal. Malah saya bersedia untuk mematikan pembesar suara bagi menyekat mana-mana Ahli Parlimen yang membuat kecoh atau degil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, pematuhan terhadap prosedur operasi standard boleh dilakukan bagi membolehkan Parlimen bersidang secara bersemuka dengan menguatkuasakan syarat korum bagi satu-satu sidang supaya penjarakan sosial dapat dibuat.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menolak alasan bimbang penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Parlimen kerana petugas termasuk Ahli Dewan Negara sepatutnya diberikan vaksin.
Katanya, kakitangan Parlimen sepatutnya dianggap sebagai petugas barisan hadapan kerana berperanan membantu memudahkan pentadbiran ketika wakil-wakil rakyat membentuk dasar negara.
“Sebagai petugas yang menguruskan selok-belok Dewan Rakyat dan Dewan Negara, demi menjulang demokrasi, saya menganggap mereka sebagai frontliners!
“Kerajaan boleh mengurung rakyat melalui lockdown. Tetapi, kerajaan tidak seharusnya membungkam proses demokrasi. Kami cukup merana berkompromi dengan hak demokratik dan hak asasi individu kami demi satu krisis kesihatan awam semata-mata,” tegasnya.
Bagaimanapun, tambah beliau, pembukaan Parlimen adalah bergantung kepada kerajaan kerana ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. – UTUSAN ONLINE