Tajuddin tidak pakai pelitup muka, Syed Saddiq selesai beri keterangan - Utusan Malaysia

Tajuddin tidak pakai pelitup muka, Syed Saddiq selesai beri keterangan

SYED Saddiq Abdul Rahman hadir ke IPD Dang Wangi berhubung isu Tajuddin Abdul Rahman yang tidak memakai pelitup muka dalam siidang akhbar. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, berhubung ciapannya di Twitter berkaitan tindakan Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka ketika sidang akhbar.

Ketika ditemui, beliau berkata, dia memberi kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan berjalan.

“Hari ini saya hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung ciapan di Twitter mengenai tindakan Datuk Seri Tajuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang akhbar baru-baru ini.

“Saya memberikan kerjasama yang baik dan telah merakam percakapan yang memakan masa sehingga sejam setengah,” katanya.

Tambah beliau, tindakan lanjut diserahkan kepada pihak polis untuk menentukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Syed Saddiq.

Tambah beliau, selain Syed Saddiq, tiga lagi kakitangan Prasarana akan tampil memberi keterangan.

“Mereka dipanggil sebagai saksi bagi siasatan berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, video rakaman Tajuddin yang didakwa tidak mematuhi SOP ketika mengadakan sidang akhbar mengenai insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur, Selasa lalu tular di media sosial.

Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN