PETALING JAYA: Pengguna jalan raya yang mahu ke tempat kerja ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disaran merancang lebih awal perjalanan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, langkah itu bagi menyuraikan trafik selain dapat mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).
Kata beliau, SJR yang didirikan bukan mahu menyusahkan sesiapa, sebaliknya ia perlu bagi meredakan kembali peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
“Sehingga semalam, sebanyak 269 SJR diadakan di seluruh negara membabitkan tiga sesi pemeriksaan dilakukan oleh pegawai dan anggota yang bertugas.
“Jadi, pekerja yang keluar ke tempat kerja perlu fikir bagaimana untuk rancang jadual mereka kerana SJR ini perlu dilakukan bagi kesejahteraan semua,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Zainal Abidin, semua premis yang disenarai dalam sistem amaran awal iaitu Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) dipantau ketat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Ujarnya, pemeriksaan ketat dilakukan di pusat beli-belah, sekolah dan kawasan tumpuan ramai memandangkan sektor ekonomi masih berjalan ketika ini.
“Kompaun akan dikeluarkan mengikut keadaan semasa ketika pemantauan itu dilakukan namun sekiranya masih terdapat mereka yang degil kita tidak kompromi,” jelasnya.
Terdahulu, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa Isnin ini sehingga 6 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, semua aktiviti sosial, pendidikan dan aktiviti ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam adalah dilarang.
Katanya, turut tidak dibenarkan ialah sebarang aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta. – UTUSAN ONLINE











