“Saya rugi setengah juta”–Ifa Raziah - Utusan Malaysia

“Saya rugi setengah juta”–Ifa Raziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mahu menidakkan tindakan diambil bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini, namun bagi pelakon dan penyanyi Ifa Raziah, pengumuman mengejut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur bermula 7 sehingga 20 Mei lalu cukup memberi kesan kepada dirinya sebagai penganjur acara jualan Starvendors Mega Raya Fest .

Berhadapan sendiri dengan peniaga kecil yang sepatutnya memeriahkan acara itu, kata Ifa cukup menyedihkan untuk melihat ada antara mereka terpaksa menanggung kerugian memandangkan pengumuman penundaan acara itu berlaku dalam tempoh sangat singkat.

Walaupun pihaknya berjanji akan memulangkan wang sewaan tapak namun jelasnya, dalam konteks ini dia melihat perlu ada pembelaan wajar dalam membantu mereka yang terjejas.

Difahamkan ketika pengumuman dilakukan persiapan lokasi bazar sudah 90 peratus siap, keadaan Ifa pada waktu itu bagaimana?
Tipulah tidak marah dan kecewa. Memang itu yang saya rasa, tetapi tetap reda sebab saya dapat agak perkara ini akan terjadi. Bila pengumuman itu dibuat 90 peratus gerai untuk menempatkan 300 peniaga sudah siap dipasang. Pada hari sama juga, kami terpaksa buka kembali binaan gerai bila sudah capai keputusan yang acara ini tidak dapat diteruskan. Bukan saya sahaja kecewa, saya fikir ramai lagi peniaga bergantung harap kepada hasil jualan untuk musim perayaan ini melalui keadaan sama. Bazar Aidilfitri hanya diadakan setahun sekali dan memang menjadi tumpuan peniaga terutamanya orang Melayu. Ikutkan beberapa tahun lepas Starvendors Mega Raya Fest memang diadakan tanpa henti selama 72 jam. Tetapi untuk tahun ini kami memang sudah bekerjasama dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai prosedur operasi standard (SOP), tetapi kami tetap akur dan reda bila keadaan ini berlaku.

Kerugian yang ditanggung Ifa sendiri sebagai penganjur acara berkenaan?
Hampir setengah juta ringgit, termasuk semua kos dan perancangan yang sudah dibuat sejak setahun lalu. Bukan soal promosi sahaja, sepatutnya sepanjang tiga hari acara itu berjalan saya akan menempatkan 80 pekerja saya di sana. Jadi dalam keadaan ini saya masih perlu membayar gaji mereka. Cuma itulah bukan saya sahaja mengalami kerugian, sesiapa yang bergelar peniaga juga akan terkesan. Macam saya sendiri, memang perniagaan sahaja menjadi punca pendapatan saya kini selepas lakonan dan nyanyian agak sunyi. Cuma harap ada pihak yang boleh membantu rakan-rakan peniaga lain.

Ada peniaga yang salahkan Ifa kerana penundaan acara ini?
Tidak semua juga faham apa yang berlaku. Malah kami dengan jelas sudah berjanji akan memulangkan wang sewaan tapak mereka kembali. Cumanya perlu menunggu tempoh 60 hari seperti dalam perjanjian sebelum ini. Kami memikirkan juga faktor yang membenarkan acara diteruskan tetapi melalui syarat berbeza. Namun selepas membuat undian kebanyakan peniaga enggan meneruskan acara kerana melihat syarat yang diberikan hanya akan merugikan mereka. Jadi saya hormati pendirian mereka dan sedia memulangkan kembali wang sewaan tapak seperti dijanjikan. Cuma lagi sekali saya mahu minta maaf kepada mereka yang terkesan dengan apa yang berlaku.

Sudah ada tarikh baharu untuk acara ini diadakan?
Saya hanya cadangkan sahaja tarikh 2 hingga 4 Julai depan. Ikutkan buat masa ini masih belum ada yang pasti sebab kita perlu dapatkan dewan yang sesuai selain menentukan kapasiti peniaga yang boleh dimuatkan. Belum umumkan kepada pihak peniaga lagi, namun apa yang saya cukup bersyukur apabila ramai di antara mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya.

Serik dengan apa yang berlaku?
Tidak, mengikut perjanjian saya memang akan terus mengadakan acara bazar ini selama 10 tahun dan ada baki tujuh tahun lagi bersama pihak Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi sebagai seorang usahawan. Saya tidak boleh melihat kesusahan saya sahaja, ramai lagi mengalami nasib sama. Cuma apa yang saya harapkan ada ruang untuk peniaga-peniaga terjejas ini mendapat bantuan. Sebab apa yang berlaku ini juga tidak dijangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN