Raya tidak meriah tanpa 'baba' - Utusan Malaysia

Raya tidak meriah tanpa ‘baba’

A. ASMADI Abdul Aziz berbual dengan Khadijah Din (tengah) ketika melawat keluarga berkenaan di Chemor, Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kehadiran Aidilfitri tidak lama lagi bagai tidak dirasakan oleh Nur Khairunnisa Ahmad Amin, 29, selepas kehilangan bapanya yang jatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini, Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang ketika hujan lebat itu, Ahmad Amin Ismail, 58, dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas.

Nur Khairunnisa berkata, setiap kali Ramadan atau Aidilfitri, bapanya yang dipanggil ‘baba’ adalah orang yang paling bersemangat menyediakan kelengkapan untuk menyambut bulan yang ditunggu umat Islam itu.

Malah katanya, persediaan hari raya termasuk pemilihan langsir, karpet dan warna baju raya pun dirancang awal oleh bapanya itu.

“Biasanya, baba siapkan persiapan raya. Dia bawa kami beli baju raya dan barang-barang untuk buat biskut. Baba seorang yang ringan tulang, jika lihat kami sibuk menyiapkan biskut, dia bantu. Dia sukakan biskut semperit dan sampan buah.

“Puasa juga selalunya meriah kerana baba sering bawa kami sekeluarga berbuka di luar, dia gemar makan beramai-ramai,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kebajikan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz di rumahnya di Chemor di sini, semalam.

Nur Khairunnisa memberitahu, Aidilfitri tahun ini, mereka sekeluarga sepatutnya memakai pakaian raya berwarna kuning seperti mana dirancang bapanya sejak tahun lalu.

Namun anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menyangka rancangan tersebut adalah hasrat terakhir bapanya yang tidak dapat dilaksanakan.

“Tahun lepas baju raya kami berwarna biru dan baba rancang warna kuning seperti warna diraja pula untuk Syawal kali ini.

“Tapi dia ada beritahu, yang mungkin dia tidak sempat dan bila ummi (ibu) tanya kenapa, dia diam sahaja. Baba juga pesan untuk jaga diri dan jaga ummi. Dia macam tahu akan pergi jauh cuma kami yang tidak sedar perkara itu,” katanya.

Sementara itu, ibu Nur Khairunnisa, Khadijah Din, 59, berkata, meskipun hampir lima bulan kehilangan suaminya, mereka sekeluarga belum berputus asa dan berharap lelaki itu dapat ditemukan meskipun hanya jasadnya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk meranduk parit dan sungai hingga ke bawah jambatan dan perangkap sampah bagi mencari lelaki itu.

“Jauh di sudut hati, saya mengharapkan keajaiban agar dia ditemukan. Sebelum ini, saya yakin dia masih ada, namun naluri seorang isteri kini kuat merasakan yang dia sudah tiada lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya