Pulau Pinang rangka pelan percepatkan beri vaksin  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang rangka pelan percepatkan beri vaksin 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang merangka pelan konkrit program vaksinasi bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha itu berkait dengan tekad kerajaan negeri untuk membeli sendiri bekalan vaksin demi kepentingan rakyat secara menyeluruh. 

Menurut beliau, beberapa perkara sedang diteliti antaranya berkenaan perancangan logistik, sistem pendaftaran yang dapat mengintegrasikan data daripada MySejahtera dan penubuhan pasukan perubatan berdaftar tambahan. 

“Ini bagi membolehkan program itu berjalan  lancar dalam tempoh masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, tambah Kon Yeow, kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega lebih efisien untuk mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Jelas beliau, pemberian vaksin termasuk kepada barisan ‘economic frontliners’, mereka yang berkhidmat dalam sektor perkilangan dan industri serta yang berada di dalam zon merah. 

 “Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin kepada 22,000 individu dalam tempoh seminggu pada bulan depan iaitu sekali ganda daripada jumlah kini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, beliau telah mengerahkan pelaksanaan saringan besar-besaran dalam kumpulan komuniti bersasar membabitkan 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini. 

Pendekatan itu jelasnya, bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN