fbpx

Pukul, maki, ludah anggota Rela sebab tidak dapat masuk pasar

TANGKAP layar memaparkan kejadian pergaduhan antara seorang lelaki dengan anggota Rela di sebuah pasar awam di Sitiawan semalam yang tular dalam media sosial. - MEDIA SOSIAL

LUMUT: Tindakan seorang lelaki memukul, mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah seorang anggota Rela di Sitiawan di sini membawa padah apabila ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada pukul 8.50 malam ekoran laporan polis dibuat mangsa pada pukul 12.40 tengah hari semalam.

“Dalam laporannya, pengadu berusia 45 tahun sedang bertugas menjaga laluan pintu masuk di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan pada pukul 6.45 pagi kelmarin sebelum suspek datang dan ingin masuk ke dalam pasar tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, anggota Rela itu bagaimanapun menahan suspek daripada masuk kerana pasar tersebut hanya dibuka pada pukul 7 pagi.

Katanya, suspek tidak menghiraukan arahan mangsa dan terus masuk ke pasar itu dan dihalang anggota Rela tersebut sehingga berlaku pergelutan di antara kedua mereka.

“Suspek memukul mangsa dengan menggunakan tangan, mengeluarkan kata-kata kasar dan meludah muka anggota Rela itu,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajibannya.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Sementara itu, video kejadian pergaduhan itu tular dalam media sosial terutama WhatsApp dan WeChat khususnya dalam kalangan komuniti masyarakat Cina di daerah Manjung. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!